Ramai Anggap Pilih Quartararo Satu Kesilapan – Razlan

Siapa sangka Petronas Sepang Racing Team (SRT) mampu melakar nama di pentas MotoGP sejak membuat keputusan untuk naik ke kelas premier bersama Yamaha setahun yang lalu.

Kini pasukan yang mempertaruhkan Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli itu berjaya menempah nama sebagai antara pasukan yang paling mencuri tumpuan apabila telah pun mengutip 161 mata – Quartararo (92 mata), Morbidelli (69 mata) – setakat ini.

Pengurus pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) di saingan MotoGP, Dato Razlan Razali akui terkejut dengan keputusan yang dipaparkan pasukannya apatah lagi perlumbaan masih berbaki tujuh pusingan.

“Kami langsung tidak menjangka akan berada dalam kedudukan ini seleas 12 pusingan. Pada awalnya, kami mensasarkan kedudukan enam terbaik bagi Franky (Morbidelli) sementara Fabio (Quartararo) akan muncul pelumba muda terbaik.

“Tetapi kami tidak menyangka mereka mampu mencapai tahap ini, jadi kami sangat gembira,” jelas Razlan.

Razlan juga tidak dapat menyembunyikan keterujaannya terhadap prestasi semasa Quaratararo meskipun pada satu ketika ramai yang mempersoal tindakan Petronas SRT mengambil pelumba muda dari Perancis itu.

Sumber: Fabio Quartararo @ Twitter

“Kejutan terbesar tahun ini datangnya dari Quartararo. Ketika kami mengumumkan dia sebagai pelumba kedua, ramai yang bercakap kami telah membuat pilihan yang salah tetapi dia berjaya membuktikan sebaliknya.

“Dia sememangnya pelumba yang berbakat,” ulas Razlan lagi.

Sementara itu, Razlan turut berasa bangga dengan prestasi Petronas SRT dalam ketiga-tiga kelas – MotoGP, Moto2 dan Moto3.

“Pasukan Moto3 telah wujud sejak 2015 sementara Moto2 baru memasuki usia setahun. Meskipun kedua-dua pasukan ini berdepan pelbagai cabaran namun mereka masih mampu mengekalkan keserasian sebagai satu pasukan.

“Sebagai rakyat Malaysia, kami bangga kerana wujudnya sebuah pasukan MotoGP Malaysia. Secara tidak langsung menjadikan kami duta Malaysia yang bangga kerana dapat berkongsi kenyataan ini di serata dunia. Saya bangga dapat mewakili negara di padok,” katanya.

 

Pada masa sama, Razlan akui ramai pihak seakan cuba mengorek rahsia kejayaan Petronas SRT di saingan MotoGP namun dia menjelaskan kejayaan ini bukanlah satu magis malah ia hasil daripada pengalaman yang ditawarkan beberapa individu penting.

“Setiap individu menawarkan pengalaman serta sumbangan maksimum kepada pasukan. Sebagai contoh, Johan Stigefelt pakar dalam menguruskan perihal logistik sementara Wilco Zeelenberg memiliki banyak pengalaman di pentas MotoGP dan Yamaha.

“Setiap individu memainkan peranan dengan baik dan kami sentiasa berkomunikasi bagi memastikan segalanya berjalan lancar. Mungkin itulah rahsia kami.”

Serentak dengan itu, Razlan tidak sabar untuk menyaksikan Petronas SRT MotoGP beraksi buat julung kalinya di Sepang di samping mahu pasukan menampilkan aksi mantap di Moto2 dan Moto3.

“Ini merupakan aksi sulung Petronas SRT beraksi di laman sendiri sebagai pasukan MotoGP. Kami menjangkakan kedua-dua pelumba menampilkan aksi baik dan jika (Khairul Idham) Pawi sempat kembali di Moto2, saya yakin dia juga mampu melakar keputusan cemerlang.

“Kami telah pun menjangkakan seramai 200,000 kunjungan pengunjung di Sepang dan 150,000 akan memenuhi hari perlumbaan. Kami tidak sabar untuk beraksi,” tambahnya lagi.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply