Motosikal BMW sememangnya memiliki reputasi tersendiri terutamanya dalam aspek kualiti tetapi mereka juga tidak terlepas daripada senario memanggil semula beberapa jentera sebelum ini.
Kali ini, jentera yang dipanggil semula melibatkan model mampu milik dalam keluarga BMW.
Baru-baru ini, BMW Motorrad mengumumkan bahawa mereka memanggil semula model G 310 GS (2018-2020), G 310 R (2017-2020) serta beberapa model skuter C 400 X (2019) susulan kebimbangan piston di dalam kaliper brek jenama ByBre yang diguna pakai mudah karat.
Kaliper brek ByBre (atau dikenali ByBrembo) ini turut digunakan beberapa jentera lain antarnaya Bajaj dan KTM.
Untuk mengatasi masalah ini, pemilik hanya perlu ke pengedar BMW Motorrad terdekat untuk menukar ke kaliper brek yang baharu tanpa sebarang caj.
Panggilan semula ini dijangka akan berlaku awal Oktober tetapi mereka yang terkesan dengan isu ini boleh menghubungi khidmat pelanggan BMW untuk pengesahan lanjut.
Buat masa ini, tiada laporan bahawa panggilan semula ini juga melibatkan model G 310 GS dan G 310 R yang terdapat di Malaysia.
(SUMBER: Roadshow)