Hafizh Masih Berharap Kekal Di MotoGP Bersama Tech3

Sumber: Red Bull KTM @ Twitter

Keputusan Johann Zarco untuk meninggalkan KTM bermakna pintu masih terbuka untuk pelumba negara, Hafizh Syahrin meneruskan karier di kelas premier MotoGP.

Hafizh dijangka turun ke saingan Moto2 selepas tempatnya digantikan oleh Brad Binder bagi musim 2020.

Senario itu membuatkan KTM kekurangan calon untuk menggantikan tempat Zarco namun timbul khabar angin bahawa kekosongan itu akan diisi pelumba satelit KTM Tech3,
Miguel Oliviera.

Seandainya itu berlaku, ini bermakna Brad Binder ketiadaan pasangan berlumba musim depan.

Menurut laporan Crash.net, Hafizh akui dia masih belum mengadakan perbincangan dengan pengurusan Tech3.

“Saya tidak tahu. Buat masa ini saya masih belum bercakap dengan Herve (Poncharal) mengenai perkara ini.

“Keputusan Zarco mengejutkan kami semua tetapi mungkin apa yang diperkatakan dia adalah betul, dia perlu merasai semula keterujaan menunggang motosikal dan cuba menaiki podium.

“Saya tidak mengharapkan perkara ini berlaku tetapi jika mereka (Tech3) mahu saya kekal, sudah tentu saya mahu terus kekal dalam saingan MotoGP.

“Tetapi saya juga mendapat beberapa tawaran di Moto2, buat masa ini saya tidak boleh berkata apa-apa,”jelas Hafizh menjelang aksi di Silverstone.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]