Kalau bertandang ke kenduri kahwin pun mengharapkan makanan sedap menanti, apatah lagi ke Art Of Speed (AOS) 2019?
Menyedari perkara ini, penganjur AOS 2019 telah menghasilkan sesuatu yang luar biasa bagi pengunjung bertuah yang hadir ke acara tahunan kali ini yang telah pun memasuki edisi ke-8.
Perkenalkan Mizuki, sebuah kereta kustom yang menggabungkan kejuruteraan kereta dan motosikal dalam satu chasis.
Mizuki merupakan sebuah kereta MINI yang telah mendapat suntikan enjin motosikal jenis Suzuki Hayabusa yang telah dibina khas bagi AOS 2019.
Menariknya, jentera ini akan menjadi hadiah utama kepada pengunjung AOS 2019 yang bertuah.
Bayangkan, anda datang dengan motosikal atau kereta dan berkemungkinan pulang dengan sebuah jentera luar biasa!
Mizuki – yang dihasilkan khas oleh FNG Works yang sebelum ini turut menyumbang RXZ Twin Boss dan Honda C600 Papa Jahat bagi AOS edisi 2017 dan 2018 – menggunakan enjin Hayabusa 1300cc empat silinder.
Menurut FNG Works, enjin Hayabusa ini – yang dijangka menghasilkan 200hp – akan ditempatkan di bahagian belakang sekaligus menyerlahkan lagi DNA luar biasa yang seakan menjadi tema bagi pembinaan jentera kustom kali ini.
Bagi memastikan segala kuasa dapat disalurkan, FNG Works telah memasang tayar drag dengan roda bersaiz 13 inci dan sistem brek daripada Honda EG9!
Bagi memastikan kelancaran pemanduan, Mizuki turut dilengkapi dengan penyerap hentakan D2 Motorsport boleh laras.
Penganjur AOS 2019 akan mempamerkan Mizuki dalam keadaan warna sedia ada kerana pengunjung bertuah akan diberi peluang memilih warna idaman mereka sendiri!
Apa tunggu lagi? Jangan lupa ke AOS 2019 di MAEPS, Serdang pada 27 dan 28 Julai ini!