Shell Malaysia kembali dengan kempen koleksi Ferrari edisi terhad yang melibatkan lapan model Ferrari yang boleh didapati di setiap stesen Shell seluruh negara bermula 1 Julai hingga 8 September 2019.
“Kami sentiasa mencari jalan untuk memberikan pengalaman terbaik kepada pelanggan kami. Koleksi Ferrari yang diperkenalkan ini adalah cara kami menghargai minat pelanggan kami mengumpul dan bermain dengan model Ferrari.
“Setiap kali mereka isi minyak di Shell, kami mahu mereka meninggalkan stesen minyak dengan sedikit perasaan gembira, dengan menyediakan mereka peluang untuk berkongsi kegembiraan dengan ahli keluarga,”jelas Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd, Shairan Huzani Husain.
Koleksi tersebut melibatkan lapan model dengan setiap satu mewakili setiap dekad dalam sejarah Ferrari.
Shell memulakan kempen koleksi kereta Ferrari dengan Ferrari 488 Spider dan Ferrari Daytona yang dilancarkan pada 1 Julai 2019. Pelanggan boleh menambah koleksi baharu pada setiap dua minggu.
“Kempen koleksi eksklusif Ferrari ini bukan sahaja menandakan kembalinya kempen popular ini malah meraikan kerjasama di antara Shell dan Scuderia Ferrari,”tambah Shairan.
Orang ramai boleh memulakan koleksi Ferrari sendiri pada harga RM15.90 dengan perbelanjaan minimum RM30 di stesen Shell seluruh negara.
Bagi melengkapkan koleksi Ferrari ini, Shell Malaysia turut menawarkan trak edisi terhad berwarna merah. Trak tersebut direka khas bagi mempamerkan koleksi kereta Ferrari. Dapatkan trak tersebut dengan setiap pembelian Shell Helix Ultra 4L atau membelinya dengan harga RM99.90.