KTM Tech3 mengumumkan Brad Binder sebagai pelumba baharu pasukan itu menggantikan wakil negara, Hafizh Syahrin musim depan.
Binder bakal digandingkan kembali dengan Miguel Oliviera yang merupakan rakan sepasukannya ketika di Moto2 dan Moto3.
Senario ini sekaligus mengesahkan khabar angin bahawa tiada lagi tempat untuk Hafizh di KTM yang telah pun memasuki tahun akhir kontraknya musim ini.
Jentera RC16 bukan asing bagi Binder malah dia telah pun berada di Brno sejak kelmarin bersama pelumba uji KTM, Dani Pedrosa dan Mika Kallio.
Pengurus KTM Motorsport, Pit Bierer turut meluahkan rasa teruja dengan ketibaan Binder.
“Ini merupakan saat yang amat menggembirakan kerana Binder telah bersama kami lebih lima tahun dan juga pernah muncul juara dunia bersama kami.
“Saya amat teruja kerana jalinan ini akan diteruskan di MotoGP musim depan. Memang jelas kami akan berdepan pelbagai cabaran musim depan tetapi kemasukan Binder membuatkan kami berasa bertanggungjawab untuk melakukan yang terbaik untuknya,” jelasnya
Bierer turut menyifatkan Binder sebagai pelumba yang paling tepat untuk mewakili KTM.
“Saya yakin dia mampu berikan persembahan yang lebih baik, ” tambahnya.
Perkembangan ini dilihat positif bagi KTM yang kelihatan teruja dengan ketibaan Binder tetapi apakah langkah seterusnya buat Hafizh Syahrin?
Menurut beberapa laporan media antarabangsa, besar kemungkinan Hafizh bakal turun ke Moto2 bersama pasukan Tech3 atau kembali sertai Petronas yanf pernah diwakilinya diantara musim 2011 hingga 2017.