Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama-sama pengedar rasmi Auto Pacifica Sdn Bhd meraikan pembukaan pusat 3S Mitsubishi Motors yang kedua di Bintulu, Sarawak, baru-baru ini.
Auto Pacifica merupakan pusat pameran pertama di Sarawak yang memaparkan jenama korporat baharu Mitsubishi Motors.
Pusat 3S yang menelan belanja sentengah juta itu terletak di Lot No. 31 & 32, Bintulu City Mall Commercial Centre, Jalan Johari Sunam, Bintulu.
Pusat baharu itu – yang berkeluasan 3,000 kaki persegi – menempatkan ruang pelanggan dan bengkel serba lengkap yang mampu memuatkan tiga kenderaan Mitsubishi untuk diservis serentak. Bagi memastikan setiap kenderaan diservis dengan baik, pusat ini memiliki peralatan diagnostik canggih serta Special Set Tools (SST).
Ketua Pegawai Eksekutif Mitsubishi Motors Malaysia, Tomoyuki Shinnishi mengucapkan penghargaan kepada Auto Pacifica atas kejayaan ini.
“Mitsubisho Motors telah ditubuhkan di Malaysia pada Januari 2005. Auto Pacifica menyertai keluarga Mitsubishi Motors empat tahun kemudian pada 2009, sekaligus ini menandakan tahun ke-10 kerjasama kami.
“Saya mahu mengucapkan terima kasih pada Auto Pacifica kerana terus menyokong Mitsubishi Motors, dan menjadikan model Triton sebagai kenderaan pikap terbaik di Sarawak dengan 20.9 peratus saham pasaran,” jelasnya.
Mitsubishi Triton 4×4 (CBU) dibawa masuk daripada Thailand sementara ASX Compact SUV dan Outlander dipasang di Malaysia.
Pembukaan pusat 3S baharu ini turut menandakan MMM kini memiliki 54 pusat pameran seluruh negara – dengan 48 pusat terdiri daripada pusat 3S.