Dalam usaha untuk menembusi pasaran Asia dengan motosikal bersesaran 250 hingga 500cc, Harley Davidson telah menjalinkan kerjasama dengan pengeluar motosikal China.
Harley Davidson mengumumkan bahawa mereka akan bergandingan dengan Qianjiang Motorcycle dalam menghasilkan dua model motosikal berenjin kecil yang akan mula dijual tahun depan di bawah jenama Harley.
Harley mensasarkan untuk memasarkan motosikal pertama di China terlebih dahulu sebelum beralih ke pasaran Asia lain.
Qianjiang merupakan anak syarikat milik Geely, yang merupakan pemilik Volvo dan ada menjalinkan kerjasama untuk memasang kereta di China dengan anak syarikat Mercedes-Benz, Daimler.
Kenapa China? Harley Davidson melihat negara dengan penduduk seramai 1.6 bilion itu memiliki pasaran motosikal yang besar dan mampu membantu meningkatkan penjualan.
Tahun lalu, Harley Davidson terpaksa tutup kilang pemasangan di Missouri tatkala penjualan di AS semakain merudum.
Pada masa sama, Harley Davidson memindahkan beberapa kilang ke Thailand susulan tarif Kesatuan Eropah (EU) terhadap motosikal yang dieksport dari Amerika Syarikat.
EU meningkatkan tarif daripada 6 peratus ke 31 peratus Jun lalu sebagai tindak balas terhadap tindakan Presiden AS, Donald Trump yang memperkenalkan tarif pada import besi dan aluminium.
Kilang di Thailand akan menghasilkan motosikal berenjin kecil bagi penjualan di pasaran Asia. Kilang terbabit akan mula mengeksport motosikal ke China pada hujung tahun ini.
Tindakan Harley Davidson – yang dianggap sebagai ikon Amerika Syarikat – turut menerima tempelak Trump yang tidak berpuas hati dengan arah tuju baharu syarikat itu.
Trump turut menggesa rakyat AS untuk memboikot jenama Harley Davidson.
Motosikal Benelli – yang dijual di Malaysia ketika ini – merupakan salah satu anak syarikat milik Qianjiang Motorcycle.
(SUMBER: CNN)