Sejak Ducati melancarkan Panigale V4, ramai yang menjangkakan pengeluar motosikal Itali itu akan memperkenalkan Streetfighter V4.
Jangkaan tersebut akhirnya direalisasikan apabila jentera tersebut dilihat melalui beberapa sesi ujian sekitar Eropah beberapa kali.
Bagaimanapun, persoalan akhirnya terjawab apabila Ducati hari ini berkongsi beberapa gambar prototaip jentera terbabit.
Rekaan tirus di bahagian depan dan tangki yang tajam menyempurnakan lagi pengayaan sebuah motosikal naked meskipun dilitupi corak camo!
Berminat untuk melihat jentera luar biasa ini dengan lebih dekat? Ducati Streetfighter V4 akan beraksi di Pikes Peak International Hill Climb di Amerika Syarikat sambil ditunggangi bekas juara Pikes Peak, Carlin Dunne.
Ducati melihat perlumbaan ‘Race to the Clouds’ itu merupakan medan terbaik bagi menguji kemampuan jentera tersebut yang direka untuk kegunaan di jalan raya berbanding litar lumba.
Ducati Streetfighter V4 menggunakan enjin 1100cc daripada Panigale V4 namun dibezakan dengan ketiadaan fairing. Handlebar yang terdapat di Streetfighter juga adalah lebih lebar dan tinggi.
Meskipun dilitupi dengan corak ‘pixelated’ yang direka oleh Centro Stile Ducati namun rupa bentuk keseluruhan Streetfighter V4 masih dapat dilihat dengan jelas.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Ducati, Claudio Domenicali berkata Ducati Streetfighter V4 bakal menjadi antara bintang utama bagi Ducati World Premiere 2020.
Ducati Streetfighter V4 akan ditayangkan di EICMA 2019 hujung tahun ini dan dijangka akan berada di pasaran pada Mac 2020.
(SUMBER: Auto NDTV)