Pelumba Ducati, Andrea Dovizioso, akan meninggalkan jentera dua roda buat sementara waktu untuk beraksi dalam Deutsche Tourenwagen Masters (DTM) bersama Audi RS 5 dalam dua perlumbaan DTM di Misano, Itali pada 8 dan 9 Jun ini.
Ketua Audi Motorsport, Dieter Gass tidak dapat menyembunyikan keterujaannya mengenai berita ini.
“Saya amat teruja kerana kami berjaya mendapatkan bintang sukan permotoran sebagai pelumba jemputan di DTM. Pelumba MotoGP dianggap wira di Itali. Andrea juga berasal dari Misano, dia juga menjuarai GP Misano tahun lalu sekaligus kehadirannya akan menarik lebih ramai peminat.
“Kami juga tidak sabar untuk menyaksikan penampilan sulungnya di DTM. Apatah lagi dia sanggup mencuri masa di antara dua perlumbaan MotoGP untuk beraksi. Saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada Ketua Pegawai Pemasaran Ducati, Claudio Domenicali dan Pengurus Besar Ducati Corse, Luigi Dall’Igna yang bersetuju dengan penyertaan Andrea.
“Ini adalah satu penghargaan yang besar buat DTM dan sukan permotoran secara keseluruhan,” jelasnya.
Dovizioso bakal mengikut jejak pelumba motosikal terkenal lain antaranya, John Surtess, Mike Hailwood dan Johnny Cecotto.
“Saya memang meminati kereta jadi saya berasa bertuah kerana dapat berlumba bersama Audi RS 5 DTM.
“Bukan mudah untuk mencari masa untuk menyertai perlumbaan seperti ini apatah lagi ketika saingan MotoGP sedang berlangsung tetapi saya tidak sabar untuk beraksi. Apa yang pasti, perlumbaan jentera empat roda membawa cabaran berbeza jika dibandingkan dengan Desmosedici saya.
“Misano merupakan litar yang istimewa bagi semua pemandu Itali dan saya juga mennjuarai saingan di litar sama musim lalu. Saya berbesar hati dengan peluang yang diberikan,” jelas Dovizioso.
Dovizioso akan mewakili pasukan WRT Team Audi Sport menggantikan Peitro Fittipaldi yang terpaksa melupakan DTM buat seketika ekoran jadual perlumbaan bercanggah dengan Formula 1 di Kanada.