Difahamkan, Kawasaki sedang dalam proses membangunkan jentera motosikal dengan enjin berkapasiti kecil bagi pasaran Asia.
Menurut laporan Zigwheels, jentera terbaru itu akan dijana dengan enjin 250cc in-line empat silinder dan berkemungkinan akan dinamakan Ninja ZX25R. Desas-desus mengatakan Kawasaki telah pun memiliki sebuah jentera prototaip di sebuah fasiliti di Indonesia.
Pelbagai spekulasi timbul dan antaranya mengatakan bahawa jentera baharu ini akan menghasilkan 49hp!
Angka tersebut ternyata lebih tinggi jika dibandingkan dengan Ninja 300 yang hanya menghasilkan 38hp sementara Ninja 400, 48hp.
Dijangkakan model baharu ini akan mendapat tetapan yang bersesuaian dengan litar lumba meskipun diklasifikasikan sebagai jentera ‘entry-level’.
Bukan itu sahaja, motosikal ini turut akan memaparkan ciri premium antaranya lampu LED, konsol digital serta teknologi ‘ride-by-wire’ selain daripada ‘upside down fork’ dan ‘linked monoshock’.
Model baharu ini turut dijangka akan dipamerkan di Tokyo Motor Show hujung tahun ini dan akan dilancarkan di Asia sekitar tahun depan.