- Seorang remaja telah ditipu apabila dia membeli motosikal di atas talian.
- Penjual berkenaan telah menggunakan kad pengenalan palsu, dan ramai yang telah menjadi mangsa penipuan tersebut.
- Cara paling selamat untuk membeli motosikal adalah dengan memeriksa motosikal sendiri bersama dengan penjual.
Ada satu pepatah Melayu yang berbunyi, “Beringat sebelum kena, berjimat sebelum habis”. Tetapi, sudah menjadi lumrah manusia, kita mudah terliur dengan ‘tawaran’ yang amat menggoda, bukan? dan atas sebab itulah seorang remaja telah ditipu apabila dia cuba membeli sebuah motosikal di atas talian.
Arvin Veerasegaran, 19 tahun, telah menyimpan wang sejak tiga bulan yang lalu dengan bekerja sambilan di sebuah hotel. Dia ingin membeli sebuah motosikal untuk kegunaan hariannya.
Jadi, apabila dia ternampak sebuah iklan di atas portal jual beli atas talian, Mudah.my, dia mengambil tindakan. Iklan tersebut adalah untuk sebuah motosikal Yamaha LC135 terpakai pada harga RM3,000, di bawah harga pasaran, iaitu RM4,000.
Penjual tersebut turut menunjukkan kad pengenalannya sebagai bukti, meyakinkan Arvin untuk memindahkan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,000. Penjual berkenaan kemudiannya memberitahu Arvin untuk datang ke kedai untuk mengambil motosikal yang dibelinya keesokan hari.
Pemilik kedai berkenaan, KS Wong Motor, telah pun membuat laporan polis sebelum ini, paling awal pada 4 Ogos 2018, setelah mendapati penipu terbabit telah menggunakan nama kedai tersebut. Mereka sekali lagi telah dikejutkan apabila Arvin datang dengan invois yang tertera nama kedai tersebut pada 19 April lalu.
Bukan Arvin seorang sahaja yang telah hadir ke kedai berkenaan untuk mengambil motosikalnya. Seorang lagi mangsa telah hadir pada hari yang sama untuk mengambil motosikal Yamaha NXV yang telah dibelinya. Semenjak itu, empat orang telah pun mengunjungi kedai berkenaan dan 20 orang lain telah menelefon bertanyakan tentang motosikal yang telah mereka beli.
Ianya didapati bahawa penipu terbabit telah menggunakan kad pengenalan palsu untuk membuka akaun bank.
Kami di sini ingin memberi pesanan kepada anda semua, berhati-hatilah ketika ingin membeli motosikal. Cara terbaik untuk membeli adalah dengan melihat dengan anak mata anda sendiri motosikal yang ingin dibeli bersama dengan penjualnya.
Sumber: The Star