BMW Motorrad baru sahaja melacarkan dua skuter berkonsepkan tunggangan urban baharu, BMW C400 X dan BMW C400 GT dengan harga ditawarkan bermula di sekitar RM44 ribu.
Sekilas pandang, kedua-dua jentera ini menerapkan tema yang sama; gaya moden dengan reka bentuk terkini dan praktikal, ciri yang sama diterapkan dalam jenama skuter lain seperti Yamaha XMax, Suzuki Burgman dan Honda Forza.
Jadi apa yang sebenarnya membuatkan skuter BMW ini berbeza? BMW mendakwa, kedua-dua model ini mendapat suntikan jentera ‘abang’ mereka, BMW GS1200, kenyataan yang agak berani memandangkan model GS merupakan model paling popular bagi pengeluar Jerman itu sejak diperkenalkan pada tahun 1980 menerusi R80GS!
Seperti GS, dua model ini turut menerapkan proporsi vertikal, tetapan madgad (mudguard) hadapan, komponen trim berwarna yang jelas dan terdiri daripada grafik pembahagi, serta lampu hadapan LED asimetrik yang besar dengan pilihan reka bentuk pencahayaan waktu siang.
Lihat sahaja lampu depan C400X sememangnya dipinjamkan terus daripada GS!
C400 X dan C400 GT juga memiliki ruang penyimpanan di bawah tempat duduk namun apa yang membezakan daripada skuter lain adalah sistem ‘Flexcase’ yang membenarkan pemilik menyimpan helmet pelbagai saiz.
Jika C400 X adalah untuk kegunaan harian, C400 GT merupakan varian Gran Turismo – skuter yang dipersiapkan untuk menempuh perjalanan lebih jauh. Dengan rekaan fairing yang lebih lebar serta ‘windscreen’ yang lebih tinggi, model ini menghadirkan keselesaan maksimum tanpa perlu risau ‘patah pinggang’ bila menyelusuri lebuhraya.
Antara ciri yang menonjol bagi C400 GT berbanding varian X, lampu hadapan LED yang jauh lebih besar. Namun, jika varian X meminjam rekaan GS, varian GT pula seakan diinspirasikan daripada kenderaan empat roda BMW.
Kedua-dua model ini digerakkan dengan enjin silinder tunggal bersasaran 350cc yang digabungkan dengan sistem Continuously Variable Transmission (CVT) dan Automatic Stability Control (ASC) yang didatangkan secara standard!
Meskipun kedua-dua jentera ini memiliki berat sekitar 200 kilogram (C400 X dengan 204kg, C400 GT dengan 212kg) tetapi BMW telah melengkapkan dengan pelbagai sistem bantuan tunggangan bagi memastikan keselamatan penunggang berada di tahap optimum.
Sistem ASC memastikan jentera kekal stabil ketika dalam pecutan sementara sistem kawalan antigelincir memberikan pemilik kawalan yang lebih baik. Sistem ABS yang didatangkan secara standard bagi kedua-dua model juga membantu ketika membrek.
Bukan itu sahaja, kedua-dua model turut dilengkapi skirn TFT 6.5 berwarna yang membenarkan penunggang mengakses fungsi motosikal di samping sistem navigasi apabila dihubungkan dengan telefon mudah alih menerusi aplikasi ‘BMW Motorrad Connected App’.
Tidak lupa juga, model C400 X dan C400 GT didatangkan dengan akses tunggangan tanpa kunci (Keyless).
BMW C 400 GT yang terbaharu ditawarkan menerusi tiga warna, Alpine White, Moonwalk Grey serta Black Storm. BMW C 400 X juga boleh dapati menerusi tiga warna Zenith Blue, Black Storm dan Alpine White.