Suzuki Katana 2019 Telah Tiba Di Malaysia!

  • Suzuki Malaysia telah memuatnaik dalam laman Facebook mereka gambar motosikal Suzuki Katana 2019 yang telah pun tiba di tanah air kita!
  • Bagaimana pun, maklumat tambahan mahu pun harga rasminya masih tidak diketahui.
  • Satu carian di Mudah.my mendapati ada pos-pos dari bulan lepas yang menawarkan motosikal berkenaan pada harga RM85,000.

Suzuki Malaysia telah memuatnaik dalam laman Facebook mereka bahawa model Suzuki Katana 2019 telah tiba di tanah air kita!

Malang sekali, tiada sebarang maklumat mengenai harga model ini, dan mereka juga tidak mengumumkan sebarang majlis pelancaran harga. Kami telah cuba menghubungi mereka, namun, memandangkan ianya hujung minggu, kami jangka yang jawapannya hanya akan diterima paling awal pada hari Isnin yang akan datang.

Kami turut membuat satu carian ringkas di laman sesawang Mudah.my, dan mendapati adanya beberapa buah pos yang dibuat pada awal bulan April dan lewat bulan Mac 2019. Kedua-duanya menyenaraikan harga bermula dari RM85,000. Sebaliknya, Suzuki UK telah menyenaraikan harganya pada £11,399 (RM61,741.80).

Kami kurang pasti sama ada itu adalah harganya yang betul. Jika benar, ini bermakna motosikal Katana ini akan lebih mahal dari model GSX-1000S yang menjadi asasnya.

Tidak mempunyai sebarang maklumat yang boleh dikongsi sememangnya agak menjengkelkan. Telah ada banyak rungutan mengenai Suzuki Malaysia yang tidak berkomunikasi dengan pihak media untuk tujuan penyebaran berita mengenai produk mereka sejak dua tahun yang lalu. Kami tidaklah mengharapkan wang pengiklanan (kalau ada tu kira rezeki) atau pun tunggang uji, tetapi, takkanlah sampai tiada satu pun sebaran akhbar.

Akibatnya, kebanyakan penggemar di Malaysia hanya mengetahui tentang kewujudan motosikal baharu mereka hanya sekiranya ada antara media yang menyiarkan berita mengenai motosikal Suzuki. Kami hanya menyampaikan berita mengenai motosikal atas rasa cinta kami pada semua motosikal, jika tidak, sudah pasti ramai lagi yang tidak mengetahuinya kewujudannya.

Jadi, Suzuki Malaysia, jika anda membaca artikel ini, sila kongsikan sebarang maklumat bersama kami pihak media.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply