Md Helmi Azman yang menduduki tempat kedua ketika aksi pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin bulan lalu menganggap litar Batu Kawan sebagai medan ujian sebenar bagi jentera Honda musim ini.
Pelumba Hi Rev SCK Honda Racing itu beranggapan kemenangan tiga pelumba Honda di Jasin sebelum ini dibantu oleh keadaan litar.
“Kalau kita perhatikan sewaktu di Jasin, walaupun laluan lurus hanya 159 meter berbanding di Batu Kawan yang mempunyai jarak 293, namun sudut selekoh kedua-dua litar ini agak berbeza,” jelas juara Underbone 150cc Asia 2018 itu.
“Sudut selekoh di Jasin agak lebar dan laju, jadi ia banyak memberi kelebihan kepada kami untuk mengekalkan kelajuan namun sedikit berbeza di Batu Kawan yang lebih teknikal.
“Di sini, sudut selekoh lebih kecil terutama di laluan ‘S’ dan terdapat bulatan yang akan memperlahankan kelajuan jentera dan pada masa sama memerlukan jentera kami untuk memberi tindak balas yang lebih tangkas berbanding jentera Yamaha,” jelas Helmi.
Helmi yang sekali lagi mahu menaiki podium minggu ini tekad menguji kemampuan Honda di Pulau Pinang yang rata-rata didominasi jentera Yamaha musim lalu.
“Kalau diperhatikan musim lalu, Yamaha mempunyai banyak kelebihan di litar teknikal seperti ini jadi minggu ini penting dalam mengukur prestasi jentera bagi menghadapi pusingan akan datang,” tambahnya.