Norton Breitling Sport Diperkenalkan

  • Norton telah bekerjasama dengan Breitling bagi menghasilkan model edisi terhad Norton Breitling Sport.
  • Hanya 77 unit ini yang akan dikilangkan.
  • Kedua-dua syarikat ini memiliki sejarah yang panjang dalam bidang masing-masing.

Pemilik syarikat Norton telah mengambil langkah yang berani bagi meningkatkan kegemilangan jenama berkenaan. Mereka baharu sahaja bekerjasama dengan pembuat jam mewah, Breitling, bagi menghasilkan model Norton Breitling Sport.

Model ini berdasarkan kepada model Commando 961. Hanya 77 buah unit akan dihasilkan, jadi, setiap satu daripadanya akan diberikan nombor yang khas untuknya. Motosikal Breitling Sport ini akan dilengkapi dengan pelana, kemasan warna, dan hiasan yang berbeza.

Dan oleh kerana Breitling merupakan pembuat jam, kita boleh jangka yang mereka juga akan tampil dengan rangkaian jam tangan untuk dipadankan dengan model istimewa ini. Kedua-dua jenama ini memiliki warisan yang teguh: Norton mula membina alat ganti motosikal pada tahun 1898 sebelum mengorak langkah dalam pembinaan motosikal sepenuhnya pada tahun 1902. Breitling pula telah diasaskan pada tahun 1884 oleh Léon Breitling.

Mengenai kerjasama ini, Ketua Pegawai Eksekutif Norton, Stuart Garner berkata,”Saya sentiasa menyebut bahawa kunci kejayaan sesebuah syarikat itu adalah untuk memastikan sesuatu jenama setia dengan jenama yang dibawanya. Ianya prinsip asas di Norton Motorcycles dan juga Breitling. Kami tidak pernah cuba untuk mengubah sifat jenama kami mahu pun menidakkan sejarahnya. Sebaliknya, kami raikan sejarah tersebut dan mengambil ilham daripadanya di samping menumpukan perhatian ke masa hadapan.”

Ketua Pegawai Eksekutif Breitling, Georges Kern, mengatakan yang kesamaan antara jenamanya dengan Norton Motorcycles amat seiras sekali. “Kedua-dua syarikat ini adalah syarikat yang inovatif, berkeusahawanan dan mempunyai warisan yang teguh.” dia menambah, “Pada masa yang sama, kami melihat jauh ke hadapan ke arah apa yang kami di Breitling sifatkan sebagai ‘masa depan berlegenda kami’.”

Sumber dan imej: MCN

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]