MV Agusta Dragster 800 RR America 2019 Diperkenalkan

  • Motosikal MV Agusta Dragster 800 RR America 2019 telah diperkenalkan bagi meraikan ulang tahun ke-25 model Brutale America.
  • Sesuai dengan namanya itu, ia akan ditampilkan dalam skema warna merah, putih, dan biru.
  • Hanya 200 buah unit akan dibina.

Motosikal MV Agusta Dragster 800 RR America 2019 telah diperkenalkan bagi meraikan ulang tahun ke-25 model Brutale America.

Model Brutale pertama telah diperkenalkan pada 25 tahun yang lalu, hasil rekaan Massimo Tamburini, dan mengidupkan semula nama “America” dengan skema warna yang pasti dikenali dengan serta merta: merah, putih, dan biru.

Maju ke tahun 2012, platform enjin tiga silinder 800cc yang pertama America telah diperkenalkan. Kini, pereka terkemuka, CRC Workshop telah melahirkan sebuah interpretasi yang serba baharu, Dragster 800 America.

Motosikal Dragster “America” terbaru ini didatangkan dengan skema warna asas ‘mica blue’ yang menawan dengan pantulan yang berwarna-warni serta grafik melintang, menyerlahkan lagi perwatakan asal motosikal Dragster 800 RR, menjadikannya lebih menonjol di khalayak ramai.

Dilengkapi dengan ciri teknikal tercanggih dalam segmennya dan seperti biasa, ketelitian yang tinggi terhadap perincian, termasuklah pada tangki bahanapinya yang dihias dengan bintang-bintang sebagai memperingati model 750S dari empat puluh tahun yang lalu. Pelananya dilengkapi jahitan dengan sorotan warna emas dan bahan unik buat kedua-dua penunggang dan pembonceng. Roda berjejari yang menawan didatangkan dengan warna bendera Amerika Syarikat: hab merah, pemegang jejari biru, dan rim putih. Stiker “America Special Edition” ditampal pada penutup gugusan instrumen bersama dengan nombor pengilangannya.

Motosikal MV Agusta Dragster 800 RR America ini akan dibina dalam jumlah yang terhad, iaitu hanya 200 buah unit untuk seluruh dunia dan datang dengan sijil pengesahan.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]