AJP PR7, Motosikal Rali Yang Menggiurkan

Sumber imej: AJP Motos
  • Motosikal AJP PR7 adalah model dirtbike sedia rali terkini keluaran pakar dari Portugal berkenaan.
  • Ia tampak ringkas namun sebenarnya berspesifikasi tinggi.
  • Motosikal PR7 ini adalah sebuah jentera satu silinder 600cc.

Kami masih lagi terkenang akan pengalaman menunggang KTM 790 Adventure dan KTM 790 Adventure R di Gurun Sahara dalam sempadan Maghribi. Dan kini, muncul pula motosikal kembara AJP PR7.

Ianya berbeza dari tawaran KTM. Motosikal AJP PR7 ini tampak seperti jentera rali sejati yang sering kita lihat sebelum ini. Dan ya, ianya sebuah motosikal ringkas yang dibina khusus untuk perlumbaan rali. Tetapi, ia juga dilengkapi dengan spesifikasi yang menakjubkan. Menurut mereka yang pernah mengujinya, ianya cukup selesa untuk tunggangan sepanjang hari dan boleh membawa bagasi.

Satu lagi ciri yang menyerlahkan tahap keselesaannya adalah tablet Samsung Galaxy 6 menggantikan sebuah alat navigasi. Penunggang boleh memuat turun aplikasi navigasi kesukaan mereka dan ianya boleh digunakan bersama dengan aplikasi GPS Garmin atau TomTom standard.

Sumber imej: AJP Motos

Selain daripada GPS, tablet berkenaan digunakan sebagi panel paparan instrumen bagi mempamerkan tolok kelajuan, pemasa, tolok perjalanan, dan sebagainya. Motosikal ini juga dilengkapi dengan palam pengecas USB.

Enjinnya adalah sebuah unit satu silinder, sejukan cecair, 600cc. Ciri standard yang lain termasuklah hab belakang dengan pacuan ‘cush’ untuk melancarkan pacuan, kepala paip titanium, plet hentakan enjin yang besar, bateri litium-ion Shorai yang ringan. Suspensinya terdiri daripada suspensi boleh laras sepenuhnya ZF Sachs yang menyediakan ruang gerakan sebanyak 300mm di hadapan dan juga belakang. Forknys berdiameter 48mm. Motosikal ini dilengkapi dengan roda hadapan 21 inci dan 18 inci di belakang.

Ketinggian pelananya ialah 920mm (lebih tinggi dari model Honda Africa Twin!). Kerangkanya buatan keluli manakala lengan ayunnya pula adalah aluminium. Beratnya pada 167kg, sedia untuk ditunggang.

AJP berasal dari Portugal, dan telah diasaskan oleh Antonio Pinto, yang telah mengubahsuai motosikal untuk perlumbaan ‘off-road’. Ditubuhkan pada tahun 1981, syarikat ini telah membina motosikal pengeluaran pertama mereka pada tahun 1991. Mereka telah menyertai Kejohanan Enduro Kebangsaan negara mereka bermula dari tahun 1991 hingga 2001, memenangi kejohanan tersebut sebanyak lima kali berturut-turut dari 1996 hingga 2000. Mereka juga turut memenangi Kejohanan Off-road Kebangsaan dari tahun 1996, 1997, dan 1999.

Harganya? £8,500 (RM45,225.16) dan motosikal ini boleh menajdi milik anda. Ada sesiapa berani hendak bawanya ke Rimba Raid?

Sumber imej: AJP Motos
Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]