Motosikal merupakan pilihan paling munasabah untuk berulang-alik ke tempat kerja kerana dapat mengelak daripada kesesakan lalu lintas selain daripada menjimatkan duit.
Jadi bagi sesiapa di luar sana yang bercadang untuk membeli motosikal ekoran tak sanggup mengeluarkan belanja tinggi menggunakan kereta, ini lima motosikal yang paling ngam untuk digunakan untuk berulang-alik:
1) Yamaha Y15ZR
Setiap pengguna jalan raya di Malaysia – kecuali anda terlalu kaya dan menggunakan helikopter ke tempat kerja – pasti akan ternampak model ini di atas jalan. Toleh ke depan, belakang, kiri dan kanan mesti akan ternampak model ini.
Kelebihan:
– Memiliki 15.2hp @ 8,500rpm.
– Mampu pergi sejauh 100km (anggaran) dengan isian minyak RM5 (RON95).
– Reka bentuk ‘sporty’ dan mudah dikawal.
– Pasang ekzos perang, satu kampung boleh dengar
Kekurangan:
– Kalau pergi ke mana sahaja perlu bawa segala mangga yang ada dan rantai besi dan pastikan motosikal dikunci dengan baik sebab Y15ZR merupakan barang ‘panas’.
Harga bermula: RM8,210
2) Honda RS150R
Seperti Y15ZR, RS150R turut popular dikalangan penunggang motosikal di Malaysia. Namun RS150R memiliki tempat duduk yang jauh lebih tinggi juga menampilkan reka bentuk kembara berbanding Y15ZR.
Kelebihan:
– Kedudukan tinggi memberikan tempat letak kaki tidak terseret apabila memasuki selekoh tajam.
– Memiliki enam gear – berbanding lima gear di Y15ZR – sekaligus memiliki pecutan yang lebih baik.
– Mampu ‘cruising’ dengan mudah di atas lebuhraya dengan kelajuan 110km/j.
Kekurangan:
– Motosikal yang agak berat dengan 123kg.
– Kos baik pulih atau ‘parts’adalah lebih tinggi berbanding jenama lain di dalam kelasnya.
Harga bermula: RM7,999
3) Yamaha NMAX
Berbanding adiknya Yamaha NVX yang mempunyai reka bentuk berjiwa remaja, NMAX juga menjadi pilihan golongan bekerjaya di Malaysia ekoran menawarkan pemanduan selesa dengan transmisi automatik.
Kelebihan:
– Tempat duduk lebar dan selesa
– Kedudukan penunggang yang menegak
– Cermin depan yang tinggi memastikan tunggangan yang selesa dan terkawal
– Ruang kargo luas dan tangki minyak besar – 6.6liter.
Kekurangan:
– Tidak seperti NVX, NMAX memiliki reka bentuk yang sesuai untuk pakcik dan makcik.
Harga bermula: RM8,812
4) Modenas CT115
Modenas CT115 sememangnya menawarkan harga yang mampu milik apabila diperkenalkan pertengahan 2017. Menjadi pilihan rakyat Malaysia kerana memiliki ciri praktikal dan ekonomi.
Kelebihan:
– Dilengkapi pengecas elektrik serbaguna
– Kos penjagaan yang rendah berbanding motosikal Jepun lain (Yamaha dan Honda).
– Harga mampu milik
– Boleh parkir di mana sahaja tanpa rasa bimbang dicuri.
Kekurangan:
– Tiada daya penarik gadis-gadis berbanding Yamaha dan Honda.
Harga bermula: RM5,330
5) Honda EX5
Honda EX5 merupakan model paling popular Boon Siew Honda (BSH) dengan hampir 2 juta unit telah pun terjual sejak diperkenalkan pada tahun 1987. Jadi tidak hairanlah, EX5 kekal menjadi pilihan utama rakyat Malaysia.
Kelebihan:
– Model 2018 tampil lebih bergaya menerusi grafik retro dengan lambang yang direka semula.
– Harga berpatutan sekitar RM4,899 hingga RM5,099.
– Menjana kuasa mencukupi (8.35hp) untuk pemanduan selesa.
Kekurangan:
– Tak boleh pergi laju macam Ducati Paningale V4S.
Harga bermula: RM4,859