Sebut sahaja motosikal keluaran negara China, pasti akan timbul suara skeptikal daripada orang ramai. Manakan tidak, kebanyakkan daripada kita berpendapat motosikal keluaran negara Tembok Besar itu adalah tidak berkualiti dan tidak tahan lama.
Terdapat pelbagai jenama motosikal yang berasal dari China yang telah pun menembusi pasaran Malaysia, antaranya, Keeway, CFMoto, KTNS dan CMC namun masih belum mampu menandingi populariti jenama lain yang lebih dikenali seperti Honda dan Yamaha.
Bagaimanapun, hakikat itu mungkin berubah dengan motosikal keluaran Zontes.
Baru-baru ini MotoMalaya diberi peluang menguji kemampuan tiga jentera Zontes – 310T, 310X dan 310R – dengan menunggang ketiga-tiga model ke Lemang To’ki 2 di Jalan Karak.
Sebaik perjalanan bermula dari Kota Damansara, ketiga-tiga model cukup lincah, mudah untuk menyelinap di antara trafik menuju ke Gombak. Sistem ABS dwi-saluran Bosch M9.1 (boleh dimatikan) turut memberikan tindak balas yang cukup baik.
Bukan itu sahaja, sistem penyerap hentakan belakang tunggal – yang diisi nitrogen – membuatkan jentera diuji tidak berdepan masalah melalui jalan raya berlubang dan tidak rata sekaligus mengatasi jangkaan kami.
Ketika memasuki melepasi tol Gombak dan menuju ke Karak, penghadang angin boleh laras secara elektrik yang terdapat di model 310T dan 310X diaktifkan lantas memberikan perjalanan yang lebih selesa kepada penunggang.
Ketiga-tiga model juga tidak berdepan sebarang masalah untuk melayari lebuh raya dengan kelajuan 130km/j.
Sesi ujian diteruskan dengan perjalanan ke Air Terjun Chamang dan pengendalian ketiga-tiga model melebihi jangkaan awal apabila tidak berdepan masalah untuk menyelusuri jalan yang bersimpang siur.
Sistem suntikan bahanapi Delphi juga memastikan jentera memiliki kuasa yang cukup untuk melepasi selekoh sebaik pendikit minyak dipulas.
Pelbagai ciri yang terdapat di Zontes berjaya memadam jangkaan kami yang pada awalnya sedikit skeptikal.
Apa yang pasti Zontes bukan pengeluar motosikal China biasa!