MotoGP 2019: Ducati Beri Amaran Akan Mengusulkan Bantahan Terhadap Winglet Honda

Marc Marquez di GP Qatar 2019 – Sumber imej: ultimatemotorcycling
  • Isu berkenaan dengan kelengkapan aerodinamik dalam MotoGP bertambah hangat apabila Ducati memberi amaran akan mengusulkan bantahan terhadap winglet Honda.
  • Menurut Ducati, winglet Honda mendatangkan bahaya atas beberapa sebab.
  • Isu ini timbul kerana penglibatan Honda dalam bantahan penggunaan winglet Ducati pada lengan ayun jentera GP19 di Qatar.

Isu berkenaan dengan kelengkapan aerodinamik dalam kejohanan MotoGP semakin panas apabila Ducati memberi amaran akan mengusulkan bantahan terhadap winglet yang digunakan oleh Honda.

Honda adalah salah sebuah daripada empat pengeluar (yang lain-lain terdiri daripada KTM, Aprilia, dan Suzuki), yang telah mengemukakan bantahan terhadap Ducati atas penggunaan winglet di hadapan roda belakangnya. Bantahan ini telah dikemukakan selepas pusingan MotoGP Qatar pada hujung minggu yang lalu. Bagaimana pun, ianya telah ditolak oleh FIM dan dengan itu telah dirujuk ke Mahkamah Rayuan FIM.

Suzuki Terangkan Bantahan Mereka Terhadap ‘Winglet’ Ducati

Gigi Dall’Igna, Ketua Teknikal Ducati, paling berang dengan penyertaan Honda dalam bantahan berkenaan.

“Saya agak terkejut dengan tingkah laku Honda, yang mana, di samping memegang watak protagonis dalam kejuaraan dunia, adalah salah sebuah pengasas bagi kejohanan MotoGP moden bersama dengan Ducati dan Yamaha (yang tidak mengemukakan protes),” ujar Dall’Igna kepada Sky Italia.

“Tidak banyak yang boleh saya katakan dalam hal ini mengenai KTM dan Aprilia…. Langkah yang diambil Suzuki dan Honda pula berbeza, kerana mereka akan mendapat manfaat sekiranya Dovizioso dan Ducati dilucutkan kemenangan pertama kejohanan ini.”

Winglet Ducati tersebut telah dipersetujui oleh Pengarah Teknikal MotoGP, Danny Aldridge sebelum bermulanya GP Qatar. Aprilia, bagaimana pun, mendakwa bahawa Aldridge pernah berkata yang kelengkapan yang sama akan diharamkan.

“Fakta yang Honda mempersoalkan keputusan yang dibuat oleh pengarah teknikal meletakkan kami dalam kedudukan untuk menyuarakan bantahan terhadap mereka.”

“Sehingga kini, sebarang pertikaian berkaitan isu teknikal akan diselesaikan sama ada melalui Persatuan Pengeluar atau dengan membincangkannya dengan pengarah teknikal,” tambah Dall’Igna.

Berkenaan dengan winglet Honda, Dall’Igna merasakan yang ianya merbahaya. “Secara jujurnya, winglet Honda merbahaya kepada kami. Bukan itu sahaja, kerana ianya dihasilkan dengan tapak yang kecil, ia berdepan dengan deformasi yang ketara akibat tekanan yang dikenakan, dan dengan itu, mungkin mampu berfungsi sebagai kelengkapan aerodinamik yang boleh bergerak.” katanya lagi.

Pengarah sukan Ducati, Paolo Ciabatti sebelum ini mengandaikan yang bantahan ini bersifat politik. Malah, Ducati telah menjadi sasaran Honda sejak bantahan Honda terhadap pengenalan winglet Ducati pada jenteranya, yang telah menyebabkan wujudnya peraturan kelengkapan aerodinamik yang sedia ada.

“Saya rasa mereka ingin menakutkan dan menghalang kami dari menggunakan bahagian yang telah pun mendapat kebenaran daripada pengarah teknikal,” ujar Dall’Igna.

“Jelas sekali kami tetap dengan pendirian untuk menggunakannya dan ini memaksa mereka untuk terus mendesak situasi ini, yang mana, sekiranya saya berada di tempat mereka, saya pasti berasa amat memalukan diri.”

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]