Ujian Pra Musim MotoGP Sepang 2019: Ducati Dominasi Pada Hari Terakhir

  • Para penunggang Ducati telah membolot empat tempat teratas pada hari terakhir Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang.
  • Empat penunggang Ducati berkenaan adalah antara enam penunggang yang telah memecahkan rekod catatan masa ujian sebelum ini.
  • Ducati, Yamaha, dan Suzuki telah menguji reraup baharu mereka sewaktu ujian ini.

Para penunggang Ducati telah menghancurkan rekod catatan masa pra musim pada hari terakhir Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang.

Penunggang baharu pasukan Mission Winnows Ducati, Danilo Petrucci, telah menggunakan kombinasi tayar ‘soft’ baharu dari Michelin bagi memusnahkan rekod catatan masa ‘tidak rasmi’ tersebut. Dia menjadi penunggang terpantas merekodkan pusingan di Litar Antarabangsa Sepang dengan catatan masa 1:58.239. Catatannya itu 0.6 saat lebih pantas berbanding rekod 1:58.830 yang telah dicatat oleh Jorge Lorenzo pada tahun lalu.

Pasukan pengilang Ducati telah mempersembahkan reraup baharu dengan 3 bilah ‘spoiler’ di kedua-dua belah kiri dan kanan jentera.Petrucci telah terbabas sewaktu pengujian namun telah berjaya mendapatkan rentaknya semula.

Aksi yang dipamerkan oleh Petrucci itu adalah sebahagian daripada empat orang penunggang Ducati yang telah menunjukkan dominasi mereka dengan menduduki empat tempat teratas dalam catatan masa. Penunggang baharu pasukan Pramac, Ducati, Francesco Bagnaia telah mencatatkan masa kedua terpantas dengan 1:58.302, manakala teman sepasukannya, Jack Miller mencatatkan masa 1:58.366 untuk merekodkan masa ketiga terpantas.

Di tangga keempat adalah penunggang veteran Ducati, Andrea Dovizioso dengan catatan masa 1:58.538.

Jenama terpantas yang berikutnya adalah Yamaha, dengan Maverick Viñales mencatat masa kelima terpantas dengan catatan 1:58.664. Viñales merupakan penunggang terpantas semalam dengan catatan masa 1:58.897 namun terpaksa berpuas di tempat kelima pada hari ini walaupun setelah memperbaiki catatan masanya. Yamaha turut menguji reraup baharu mereka.

Cal Crutchlow juga telah memperbaiki catatan masa terbaiknya sebelum ini (1:59.566) dengan merekodkan catatan masa 1:58.780 namun hanya mampu menduduki tempat keenam terpantas!

Sejumlah enam penunggang berjaya mencatatkan masa di bawah 1:58.830. Hanya dua tahun yang lalu, ramai yang tidak percaya yang jentera motosikal mampu menyempurnakan pusingan di litar SIC ini di bawah 2 minit.

Aleix Espargaro dari pasukan pengilang Aprilia Gresini telah mempamerkan aksi cemerlang bagi meletakkan jentera RS-GP di tempat ketujuh. Franco Morbidelli juga beraksi cemerlang bagi mencatatkan masa kelapan terpantas di atas jentera PETRONAS Yamaha SRT. Takaaki Nakagami menamatkan ujian sebagai penunggang kesembilan terpantas, manakala Valentino Rossi pula berada di tangga kesepuluh dengan catatan masa 1:59.148.

Penunggang terpantas pada hari pertama Marc Marquez, mengakhiri ujian di tempat ke-11. Dia masih lagi menghadapi masalah dengan bahunya itu.

Namun barangkali kejutan terbesar adalah Alex Rins dari pasukan Suzuki Ecstar yang berada di tangga ke-12 setelah menunjukkan prestasi yang memberangsangkan pada hari pertama dan kedua ujian. Suzuki berasa amat berpuas hati semalam apabila Rins mencatatkan masa kedua terpantas dengan tayar terpakai semalam. Kebolehan untuk mencatatkan masa yang pantas dengan tayar terpakai bermakna jentera itu mampu menamatkan perlumbaan dalam kedudukan yang kukuh dalam perlumbaan yang sebenar.

Para penunggang KTM masih lagi mencari rentak mereka pada hari ketiga dan menamatkan ujian di kedudukan empat terakhir di kalangan penunggang tetap MotoGP. Penunggang terpantas mereka, Johann Zarco menamatkan ujian di tempat ke-17 di hadapan Pol Espargaro, Miguel Oliveira, dan Hafizh Syahrin.

Ujian pra musim yang seterusnya dan terakhir akan diadakan di Litar Antarabangsa Losail di Qatar dari 23 Februari 2019, sebelum bermulanya musim 2019 pada 10 Mac.

Sumber imej: MotoGP.com

Ujian Pra Musim MotoGP 2019 Sepang Maverick Viñales Dan Yamaha Muncul Terpantas Pada Hari Ke-2

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]