BMW S 1000 RR Telah Siap Sedia Untuk WorldSBK Musim 2019

  • Jentera BMW S 1000 RR WorldSBK 2019 telah diperkenalkan di Portugal.
  • Ciri-ciri pada motosikal ini mempamerkan komponen-komponen berteknologi tinggi.
  • Selain itu, terdapat beberapa buah ciri-ciri lain yang menarik.

BMW Motorrad telah memperkenalkan jentera pencabar S 1000 RR WorldSBK musim 2019 baharu di Portugal pada malam semalam. Bagaimana pun. mereka hanya menyiarkan gambar bagi pasukan Shaun Muir Racing (SMR) dan para penunggang Tom Sykes dan Markus Reiterberger.

Asphalt & Rubber pula telah menghantar jurugambar mereka, Steve English, untuk menangkap gambar-gambar yang berikut. Dan di sini, kami persembahkannya.

Brek ibu jari

Ciri paling menarik yang boleh dilihat pada jentera ini adalah tuil brek ibu jari pada jentera Tom Sykes. Brek ibu jari semakin menjadi kebiasaan dalam dunia perlumbaan di mana lebih ramai penunggang menjuntaikan kaki mereka sewaktu pembrekan keras. Satu-satunya cara untuk mengaktifkan brek belakang sewaktu kaki kanan terjuntai adalah dengan menggunakan tuil brek ibu jari.

Selain itu, brek ibu jari juga membolehkan penunggang untuk menekannya secara perlahan sewaktu mengiring dalam selekoh bagi memperkemaskan laluan mereka. Ia juga mungkin dapat membantu dalam mengawal ‘wheelie’ ketika keluar dari selekoh.

Butang pelbagai warna pada palang pemegang mengawal kelengkapan elektronik motosikal seperti pengehad kelajuan laluan pit, kawalan cengkaman, pemetaan enjin, dan lain-lain lagi.

Lengan ayun

Lengan ayun pada jentera perlumbaan S 1000 RR WorldSBK ini tampak serupa seperti yang ada pada unit standard. Bagaimana pun, ruang berongga (tempat terletaknya kemasan Regina dan Akrapovic) telah diisi penuh, kemungkinan besar bagi menambah keteguhannya.

Lengan ayun standard BMW S 1000 RR 2019 kelihatan sama seperti unit perlumbaan. Ini menunjukkan komitmen BMW Motorrad dalam membolot kejohanan WorldSBK dan juga kejohanan perlumbaan superbike yang lain, dengan mereka bentuk sebuah jentera yang telah pun siap sedia untuk perlumbaan.

Angkup brek hadapan Nissin

Kejutan utama adalah angkup brek hadapan Nissin dan bukannya jenama Brembo seperti kebiasaannya. Pengeluar brek dari Jepun itu telah berusaha untuk memecahkan monopoli Brembo dalam dunia perlumbaan. Walau apa pun jua, kami berharap yang Nissin dapat menggunakan pengalaman yang diperolehi dalam WSBK dan menerapkannya pada produk awam mereka.

Sumber: Asphalt & Rubber

Gambar oleh: Steve English bagi Asphalt & Rubber

GALERI GAMBAR

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]