- Tangan seorang kanak-kanak telah terperangkap pada roda belakang motosikal.
- Jaketnya yang longgar itu telah terperosok memasuki roda belakang motosikal yang diboncengnya.
- Ini adalah salah satu dari pelbagai kemalangan motosikal yang disebabkan oleh pakaian yang longgar.
Negara kita telah dikejutkan pada bulan Jun 2018 yang lalu, apabila seorang kanak-kanak berusia 5 tahun kehilangan tangannya. Satu lagi kes menyusul pada bulan Julai di mana seorang kanak-kanak perempuan berusia 7 tahun kehilangan kakinya apabila ianya terperangkap pada roda belakang motosikal.
Beberapa jam yang lalu, seorang lagi kanak-kanak telah terbabit dalam insiden yang sama di Bandar Sunway.
Kanak-kanak lelaki berkenaan sedang membonceng motosikal apabila jaket yang dipakainya telah tersangkut pada roda belakang motosikal. Daya putaran roda telah menyebabkannya terjatuh dari motosikal, dan menyebabkan tangan kirinya terperosok di dalam ruang antara penyerap hentakan dan roda. Saksi melaporkan bahawa jaket yang dipakainya itu terlalu besar baginya, dan ianya terlalu longgar untuk kanak-kanak berkenaan.
Orang ramai bergegas membantu kanak-kanak berkenaan dan berjaya meloloskan tangannya yang tersepit itu. Mujur sekali, kanak-kanak berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius.
Terdapat begitu banyak kejadian kemalangan motosikal yang melibatkan pakaian yang longgar sejak kebelakangan ini. Pada bulan September 2018, seorang penunggang berusia 35 tahun dan pemboncengnya yang berusia 69 tahun telah terjatuh dari motosikal yang ditunggangi mereka apabila jaket longgar pembonceng telah tersangkut di sproket motosikal berkenaan. Penunggang berkenaan telah meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan kepala.
Seorang lagi kanak-kanak telah patah tangannya pada bulan April 2017 sewaktu membonceng dengan ibunya.
Sila pastikan pakaian anda tidak terlalu longgar dan dikemaskan sebelum anda mula menunggang. Penunggang perlu sentiasa memeriksa untuk memastikan pemboncengnya mengenakan kelengkapan keselamatan yang sesuai dan memastikan yang ianya diikat kemas.
Sumber: Harian Metro