- Cal Crutchlow dan HJC Helmets akan bekerjasama bagi MotoGP musim 2019 hingga 2020.
- HJC berharap yang penunggang berkenaan akan menyumbang terhadap pembangunan produk mereka.
- HJC Helmets adalah pengeluar helmet terkemuka yang berasal dari Korea Selatan.
Pengeluar helmet terkemuka dari Korea Selatan, HJC Helmets, telah menandatangani perjanjian bersama penunggang MotoGP kelahiran Britain, Cal Crutchlow, bagi MotoGP musim 2019 hingga 2020.
Penunggang kelahiran Britain yang bersemangat membara itu mula bersaing dalam kelas premier pada tahun 2011 dan akan terus bertanding dalam kejohanan ini bersama dengan pasukan LCR Honda bagi musim 2019. Crutchlow telah berjaya merangkul tiga tempat di atas podium bagi pasukannya itu, termasuklah tempat pertama di Argentina pada musim 2018. Malang sekali, kecederaan yang dialami akibat kemalangan di Australia telah menghalangnya dari menyertai tiga pusingan terakhir musim berkenaan.
Ianya mungkin sekali satu petanda apabila kemenangan perlumbaan MotoGP Crutchlow yang pertama adalah sewaktu pusingan HJC Helmets Grand Prix Republik Czech 2016. Dalam sebaran akhbar pengeluar helmet berkenaan, mereka berharap yang Crutchlow akan dapat meraih lebih banyak penamat di atas podium, termasuklah sewaktu pusingan HJC Helmets Grand Prix Deutschland 2019.
HJC juga turut berharap yang penunggang berkenaan akan memainkan peranan penting dalam program perlumbaan mereka dari segi sumbangan terhadap pembangunan produk mereka. HJC telah berkecimpung dalam industri pengeluaran helmet sejak 47 tahun yang lalu dan sejak kebelakangan ini telah sering bekerjasama dengan Marvel Comics.
“Saya dengan berbesar hati ingin mengumumkan perjanjian bersama HJC Helmets. Mereka telah menonjolkan diri mereka dengan lebih jelas lagi di paddock MotoGP sejak beberapa tahun yang lalu, menaja perlumbaan dan saya amat gembira dapat menyertai keluarga ini. Walaupun mereka merupakan sebuah syarikat yang besar, mereka masih menitikberatkan pendekatan dan hubungan peribadi, yang mana saya amat hargai. Helmet mereka adalah produk yang hebat dan saya tidak sabar untuk bekerjasama dengan mereka bagi meneruskan pembangunan dan evolusi rekaan mereka,” ujar Crutchlow.
Encik W. K. Wong, pengasas dan juga Ketua Pegawai Eksekutif HJC Helmets, berkata, “HJC adalah sebuah perniagaan keluarga, jadi, apabila kami mengalukan kedatangan penunggang baharu, mereka menjadi sebahagian daripada keluarga kami. Cal Crutchlow adalah seorang penunggang yang teramat kompetitif, yang turut mengekalkan semangat kesukanan yang baik sama ada di dalam mahu pun luar litar. Kami tidak sabar menantikan penyertaan Cal dalam keluarga HJC dan mewakili HJC Helmets di serata dunia.”