- Mohd Hafiz Nor Azman telah meninggal dunia setelah terlibat dalam satu kemalangan sewaktu
- perlumbaan akhir Cub Prix pada hujung minggu yang lalu.
- Pihak penganjur berjanji akan melakukan penyiasatan yang menyeluruh.
- Tragedi ini adalah yang kedua dalam tempoh 18 bulan.
Iniden malang dan pemergian Mohd Hafiz Nor Azman sewaktu satu perlumbaan motosikal perlu dijadikan satu iktibar.
Hafiz merupakan penunggang Cub Prix kedua yang telah meninggal dunia dalam tempoh 18 bulan. Juara kebangsaan dua kali, Norizman Ismail, meninggal dunia di Kemaman, Terengganu pada bulan Mei tahun lalu apabila dia merempuh hadangan ‘air fence’, dan kemudiannya dihimpit motosikalnya.
Apa yang terjadi
Hafiz kehilangan jiwa di pusingan terakhir kejohanan Petronas AAM Cub Pri Malaysia 2018, yang berlangsung di Dataran Bandar Penawar, di Johor pada hari Ahad. Dia telah bertanding dalam kategori perlumbaan CP150.
Sewaktu menuju ke ‘chicane’, seorang penunggang di hadapan Hafiz telah melanggar sebuah papan yang berada di tepi litar, menyebabkannya terjatuh. Hafiz terlanggar penunggang berkenaan dan ini menyebabkannya terbabas. Menurut laporan NST, dia tidak sedarkan diri dan meninggal dunia di Hospital Bukit Tinggi.
https://youtu.be/td97NwR2dxU
Kesannya
Malapetaka ini telah menggemparkan seluruh warga Malaysia. Ucapan takziah bertalu-talu disampaikan kepada keluarga Hafiz. Penaja utama pasukannya, Petronas telah mengeluarkan sebuah kenyataan akhbar, meluahkan simpati mereka kepada keluarga Hafiz.
Namun, perasaan terkejut berubah kepada kekecewaan dan orang ramai mula membuat spekulasi mengenai apa yang telah terjadi. Punca kematian penunggang muda ini masih belum ditentukan, tetapi, telah ada begitu ramai ‘detektif pakar’ di dalam laman Facebook yang mula menuding jari.
Bagaimana pun, isu paling utama di sini adalah keselamatan. Ayah Hafiz ada bertanya, “Litar itu selamat atau tidak? Saya rasa litar itu agak tidak selamat.”
Penunggang dan juara kebangsaan, Wazi Abdul Hamid ada berkongsi pandangannya sewaktu majlis pengebumian Hafiz.
Pandangan Kami
Kami tidak mahu mengkritik pihak penganjur kerana mereka telah melakukan segala yang termampu. Hadangan ‘air fence’ dengan jelas sekali telah mengurangkan kecederaan penunggang sejak pengenalannya beberapa tahun yang lalu. Tetapi, dari satu sudut yang berbeza, yang terbaik perlu berubah untuk kekal yang terbaik.
Motosikal cub 150cc sudah cukup pantas sekali dalam bentuk standard. Kami pernah menguji model Yamaha Y15ZR sewaktu ianya diperkenalkan pada tahun 2015 dan ia mampu mencecah kelajuan kemuncak 150km/j. Bayangkan sahaja betapa lajunya motosikal ini dengan kelengkapan perlumbaan.
Motosikal yang laju tidak akan menghadapi masalah kalau ada banyak ruang, tetapi, perlumbaan Cub Prix selalunya dilangsungkan di tempat letak kereta terbuka. Tempat letak kereta sebegini selalunya dipenuhi dengan bendul konkrit tinggi, permukaan yang teruk, dan ruangan sempit apabila ditukarkan menjadi litar perlumbaan. Mimpilah kalau hendak ada kawasan ‘runoff’.
Penyelesaian?
Adakah pelebaran litar ini satu penyelesaian? Ia mungkin tampak seperti sebuah idea yang baik, namun, ianya hanya akan membolehkan penunggang mencapai kelajuan selekoh yang lebih tinggi. Kemalangan pada kelajuan yang lebih tinggi bukan jawapannya.
Pilihan yang nyata adalah mengadakan perlumbaan di fasiliti yang khusus untuk perlumbaan. Benar, tidak ada banyak fasiliti sebegini di Malaysia, selain Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Tetapi, terdapat begitu banyak litar go-kart yang ada di seluruh negara. Masalahnya, litar-litar go-kart ini terletak di tempat-tempat yang agak jauh. Selain itu, jumlah penonton yang ramai menimbulkan satu lagi cabaran, di mana sesetengah litar go-kart ini tidak mempunyai pemandangan yang menarik. Pada ketika ini, penonton Cub Prix berada di belakang pagar-pagar yang terletak betul-betul di sebelah litar.
Walau apa pun jua keputusannya, ia perlu diputuskan sebelum latihan pertama tahun hadapan.
Kami tinggalkan anda dengan pesanan bapa Hafiz, “Saya harap yang pihak berkenaan akan menyiasat insiden ini bagi mengelakkan tragedi yang akan datang.”
MotoMalaya dan laman saudara kami, Bikes Republic ingin mengucapkan takziah buat keluarga Mohd Hafiz. Al-Fatihah