Di Malaysia, terdapat pelbagai jenis jentera ‘dual-sport’ atau ‘adventure’ yang sedang ditawarkan oleh beberapa jenama terkemuka dari seluruh dunia. Dari segi kategori ‘entry-level’, banyak pilihan di dalam pasaran dan antara motosikal yang paling diingini ramai adalah Ducati Multistrada 950.
Dari segi spesifikasi, janaan kuasa, kapasiti enjin dan saiz, model Ducati Multistrada 950 ini menduduki di hujung spektrum yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan jentera ‘dual-sport’ lain dalam kategori ‘entry-level’.
Dengan enjin 937cc Testastretta L-Twin yang mampu menjana 113hp pada 9,000rpm dan 96Nm tork maksimum pada 7,750rpm, tidak terkejut jika model ini dikategorikan seperbegitu jika dibandingkan dengan model Multistrada lain yang mempunyai kapasiti dan janaan kuasa lebih tinggi.
Sudah lebih dari setahun model Multistrada 950 ini berada di dalam pasaran negara dan kami di MotoMalaya.net ingin menguji kemampuan jentera dalam mengharungi cabaran penunggangan seharian dan adakah ia lebih berbaloi untuk dimiliki dengan pakej harga yang lebih berpatutan.
Melihat reka bentuk, model 950 tidak jauh berbeza dari abang-abangnya iaitu Multistrada 1200 dan juga Multistrada 1260 yang telah dilancarkan beberapa bulan yang lepas. Dengan harga jualan RM88,900, adakah Ducati Multistrada 950 boleh menjadi sebuah pembelian yang bijak? Secara keseluruhan, jawapan kami adalah ya!
Dari segi kuasa dan prestasi keseluruhan, Multistrada 950 mampu mengikut rentak dan kadar kelajuan dan perjalanan mana-mana model ‘adventure’ atau ‘touring’ yang terdapat di dalam pasaran Malaysia. Segala jenis keadaan jalan tidak kira di dalam kawasan bandar, lebuhraya atau jalan berliku-liku, Multistrada 950 mampu menharungi semuanya dengan senang tanpa sebarang masalah.
Dengan berat keseluruhan sebanyak 223kg (bersama 20 liter minyak petrol), gabungan bersama dimensi motor ini (840mm ketinggian tempat duduk dan 1594mm jarak antara roda) memberi satu gaya tunggangan yang senang dan perasaan ringan untuk dibawa kemana sahaja. Daya pecutan juga sangat memberangsangkan lebih-lebih lagi dengan jeritan dan letupan yang dijanakan oleh gabungan enjin 937cc dan sistem ekzos ‘standard’ (apa lagi kalau dah dipasangkan dengan sistem ekzos dari Akrapovic atau Termignoni).
Bunyi kasar dan ganas juga memberi impresi yang lebih dikenalpasti dengan jentera ‘sports bike’ atau ‘superbike’ lebih-lebih lagi jika dipulas sehingga melepasi 5,000rpm. Kombinasi prestasi dalam pakej yang lebih selesa juga memang sesuai untuk penjelajahan jarak jauh atau ‘off-road’ ringan (boleh dengan gabungan tayar Pirelli Scorpion Trail II 170,60 R17).
Kami juga dapati bahawa Multistrada 950 mampu memberi kadar penggunaan petrol serendah 5.8-liter/100km dengan cara menunggang normal (kombinasi perjalanan di dalam dan luar kawasan bandar termasuk beberapa ‘pecutan’ di lebuh raya). Dengan kapasiti tangki petrol 20 liter, model 950 ini secara teori mampu bergerak sejauh 344km bagi setiap isian penuh (dengan kiraan 17.2km/liter).
Prestasi sistem-sistem yang lain seperti suspensi dan brek juga tidak mengecewakan. Walaupun ia tidak mempunyai sistem Ducati Skyhook Suspension atau Cornering ABS seperti model 1200 dan 1260, model 950 masih mampu memberi prestasi yang bagus dalam penggunaan normal dengan spesifikasi seperti fork depan 48mm USD, unit monoshock Sachs yang boleh dilaras sepenuhnya, dua 320mm brek cakera depan dengan kaliper Brembo monobloc dan 265mm brek cakera belakang.
Sememangnya ada perbezaan jika dibandingkan dengan abang-abangnya tetapi dalam gaya penunggangan biasa, perbezaannya adalah tidak ketara dan hampir tidak dapat dikesan. Jika anda seorang penunggang yang selalu menunggang hampir setiap masa, mungkin anda akan lebih sesuai dengan varian 1200 atau 1260 yang mampu memberi pakej yang lebih kompleks kepada mereka yang agak ‘hardcore’.
Ia juga mempunyai beberapa pilihan mod menunggang yang boleh dipilih mengikut keadaan jalan yang berbeza. ‘Riding Modes’ akan memberi tetapan yang sesuai dengan mengubah aspek-aspek seperti ‘traction control’, ABS dan kawalan kuasa pendikit (Ride-by-Wire thottle response). Pendek cerita, pengalaman menunggang Multistrada 950 adalah senang dan sentiasa menarik bagi mereka yang berpengalaman dan juga masih baru dalam mengendali jentera ‘adventure’ berkuasa tinggi.
Jika anda ingin mencari sebuah jentera ‘touring’ pertama anda, Ducati Multistrada 950 merupakan salah satu pilihan yang paling menarik di dalam senarai untuk dipertimbangkan. Pakej keseluruhan yang mampu memberi pengalaman tunggangan yang menarik adalah satu daya tarikan model Multistrada 950 (dan juga rupa bentuk yang ganas lagi cantik) dan ia lebih dari mampu untuk mengikut rentak model-model yang lebih besar dan berkuasa di dalam pasaran negara.
Ducati Multistrada 950 S 2019 Dan Ducati Multistrada 950 2019 Menawarkan Lebih Banyak Perincian