- Romano Fenati akan bertanding pada tahun 2019 dalam kategori Moto3.
- Pasukannya sebelum ini, Marinelli Snipers Team telah menandatangani kontrak bersamanya semula.
- Fenati telah menimbulkan kekecohan apabila dia telah mencengkam tuil brek hadapan pesaingnya sewaktu pusingan MotoGP San Marino 2018.
Romano Fenati akan kembali ke kejohanan Moto3 pada tahun 2019.
Fenati telah menimbulkan kontroversi apabila dia telah mencengkam tuil brek hadapan Stefano Manzi di GP San Marino pada bulan September yang lalu. Dalam kekecohan yang timbul selepas itu, Dorna telah mengenakan hukuman penggantungan dua perlumbaan ke atas Fenati. FIM pula telah menggantung Fenati bagi keseluruhan musim. Pasukannya, Marinelli Snipers Moto2, telah memecatnya.
Moto2 GP San Marino 2018: Romano Fenati Membahayakan Nyawa Stefano Manzi
Tidak cukup dengan itu, Forward Racing Team, yang bakal bertanding dengan jentera MV Agusta dalam Moto2 pada musim 2019 juga telah membatalkan kontrak dengannya. Sejurus kemudian, Ketua MV Agusta, Giovanni Castiglioni memuat naik tweet bahawa dia tidak akan membenarkan Fenati untuk menunggang jentera pasukan mereka.
Ironinya, Stefano Manzi adalah penunggang semasa bagi Forward Racing Team dan juga untuk tahun hadapan. Dia sepatutnya menjadi teman sepasukan Fenati pada tahun hadapan. Ianya telah ditentukan bahawa Manzi telah melakukan provokasi ke atas Fenati. Adakah Manzi bermain permainan minda bagi menunjukkan tahap senioriti dalam pasukan?
Fenati sebelum ini telah mengumumkan yang dia akan meninggalkan perlumbaan untuk menumpukan perhatian pada pengajiannya.
Namun begitu, MotoGP.com telah membuat satu kejutan dengan mengumumkan pasukan Fenati, Marinelli Snipers, telah mengambilnya semula untuk Moto3 musim 2019. Pasukan tersebut telah menandatangani perjanjian dengan Tony Arbalino, dan dengan itu akan menjadi teman sepasukan Fenati.
Marinelli mempunyai sebab yang baik untuk menandatangani semula bersama Fenati, kerana penunggang bersemangat kelahiran Itali itu telah merangkul 23 tempat atas podium dengan 10 kemenangan dalam kelas permulaan itu. Dia berjaya menduduki tempat kedua keseluruhan bagi musim 2017.
Pasukan berkenaan mahu pun Fenati masih belum membuat pengumuman rasmi, namun kami jangka yang ianya akan berlaku pada hujung minggu ini sewaktu pusingan terakhir di Valencia.
Kami harap yang Romano Fenati dapat memanfaatkan bakatnya sebaik mungkin dan mengawal sifat amarahnya. Ini mungkin sekali peluang terakhir yang dia ada.
Sumber: MotoGP