Kejohanan World Superbike Championship (WorldSBK) 2019 Akan Menampilkan Tiga Perlumbaan Bagi Setiap Pusingan

  • Kejohanan World Superbike Championship (WorldSBK) 2019 akan menampilkan tiga buah perlumbaan pada setiap pusingan.
  • Pihak penganjur akan menambah ‘sprint race’ untuk Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.
  • Perlumbaan tambahan ini sudah pasti akan memberikan lebih pendedahan pada siri perlumbaan ini.

World Superbike Championship 2019 bakal menyaksikan penambahan satu lagi perlumbaan bagi setiap pusingan. Pada ketika ini, setiap pusingan terdiri daripada Perlumbaan 1 dan Perlumbaan 2.

Tidak dapat dinafikan lagi yang tahap populariti World Superbike Championship (WorldSBK) telah suram sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Bagaimana pun, siri perlumbaan berdasarkan jentera pengeluaran ini masih kekal sebagai satu platform yang amat penting buat para pengeluar untuk memperagakan kemampuan kejuruteraan masing-masing.

Apakah yang dimaksudkan dengan “siri perlumbaan berdasarkan jentera pengeluaran”? Para pengeluar perlu menghomologasi sejumlah motosikal bagi menjadikannya sah untuk siri perlumbaan ini. Dengan erti kata lain, jika sebuah jentera perlumbaan itu menampilkan sebuah teknologi tertentu, versi sah jalan rayanya juga perlulah dilengkapkan dengan teknologi yang sama. Inilah caranya kita telah mendapat model-model ‘homologasi’ seperti ZX-10RR, Panigale R, dan bermacam-macam yang lain.

WorldSBK adalah tempat di mana para peminat boleh menyaksikan motosikal seperti Kawasaki Ninja ZX-10RR, Ducati Panigale R, Honda CBR1000RR, BMW S 1000 RR, dan yang lain-lain bertanding di pentas antarabangsa. Jentera MotoGP sebaliknya, adalah jentera perlumbaan sejati.

Dorna WSBK Organization (syarikat subsidiari bagi pemegang hak milik MotoGP) sedar akan hakikat ini dan merasakan yang mereka perlu melakukan sesuatu bagi menarik semula orang ramai kepada siri perlumbaan ini, seperti mana pada zaman kegemilangannya di awal dan pertengahan dekad 90-an.

Jadi, mereka memutuskan untuk menambah ‘sprint race’ pada pagi Ahad.

Dorna WSBK dan FIM berharap yang perlumbaan tambahan ini akan membawa lebih banyak pendedahan yang akan memanfaatkan ke semua pasukan, penaja, dan juga penonton. Maklumat selanjutnya akan diberitahu pada masa yang akan datang.

Pengarah Eksekutif WorldSBK, Daniel Carrera menerangkan, “Sprint race ketiga dalam format WorldSBK adalah sesuatu yang telah kami rancang buat sekian lama, dan kini, kami berasa amat gembira menyaksikan pelan ini mulai dijalankan. Kami cukup komited dalam membawakan perlumbaan yang mengujakan dari tahun ke tahun, dan kami rasa dengan penambahan sprint race ini akan memperkayakan pengalaman WorldSBK. Kami akan meneruskan usaha persiapan akhir dan berharap dapat memberikan lebih banyak maklumat pada masa yang terdekat.”

Ada pusingan WorldSBK yang tertentu juga turut mengadakan perlumbaan World SuperSport (WorldSSP), SuperStock (STK1000) dan World SuperSport300 (WorldSSP300).

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]