- Suzuki Italia telah mempratontonkan jentera GSX-R1000 mengagumkan yang diliputi dengan karbon fiber.
- Motosikal ini dengan rasminya bergelar Suzuki GSX-R1000 Ryuyo, dan hanya akan dibina sebanyak 20 unit.
- Maklumat lanjut akan diketahui sewaktu pelancaran rasminya ketika pertunjukan motosikal EICMA 2018.
Kami telah menyiarkan satu laporan mengenai gambar-gambar usikan yang telah dikeluarkan oleh Suzuki Italia, yang mana ianya mempamerkan model GSX-R1000 yang diliputi dengan karbon fiber pada awal bulan ini. Kini, mereka telah memperkenalkan motosikal tersebut, diberi nama Suzuki GSX-R1000 Ryuyo.
Ianya tidak syak lagi merupakan sebuah motosikal GSX-R1000 edisi sedia perlumbaan khas, malangnya, ianya bukanlah edisi khas homologasi WSBK rasmi yang kita harapkan sebelum ini. Namun begitu, Ryuyo ini tetap tampak begitu seksi sekali!
Nama “Ryuyo” adalah tanda penghargaan buat pusat kajian dan pembangunan Ryuyo milik Suzuki, yang mana ianya bertanggungjawab dalam membangunkan ke semua model baharu pengeluar tersebut. Hanya 20 buah unit GSX-R1000 spesifikasi Ryuyo yang akan dibina dan dijual pada harga €29,990 (RM144,935.88 pada waktu laporan ini disiarkan).
Mengikut lembaran spesifikasinya, model Gixxer Ryuyo ini mampu menghasilkan sehingga 209hp pada 12,900rpm dan 119Nm tork pada 10,300rpm, selain berat (kering) hanyalah pada 168kg, menjadikan nisbah berat-ke-kuasa bersamaan 1.24hp bagi setiap kilogram.
Motosikal ini akan dibangunkan dengan berbilang rakan kongsi teknikal berprestasi tinggi, antaranya:
- Yoshimura (sistem ekzos).
- Öhlins (penyerap hentakan belakang menggunakan Öhlins TTX GP tetapi forknya adalah Showa BFF dengan bahagian dalaman Öhlins NIX 30).
- Dunlop (tayar ‘slick’ KR108 dan KR109).
- Extreme Components (kotak udara karbon fiber, panel badan karbon fiber, skrin GP, dan lain-lain).
- Bonamici Racing (tempat letak kaki bahagian belakang).
- Brembo (brek).
- K&N (penapis udara).
- Motul (Pelincir).
- DID (rantai dan gegancu); dan lain-lain lagi.
Model GSX-R1000 Ryuyo akan membuat kemunculan rasminya sewaktu pertunjukan motosikal EICMA 2018 di Milan pada bulan November ini. Maklumat tambahan akan boleh didapati pada ketika itu.
Teruskan bersama kami di MotoMalaya untuk perkembangan terkini segenap dunia permotoran.
Sumber imej: Suzuki Italia