- Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018 telah kembali untuk Pusingan 2 pada hujung minggu 27, 28, dan 29 Julai ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
- Penunggang Moto3 Malaysia, Adam Norrodin, akan bertanding dalam 600cc Supersport Championship.
- Kejohanan TOC Desmo Cup 2018 juga akan berlangsung pada hujung minggu ini.
Penunggang Moto3 Malaysia, Muhammad Adam Norrodin, akan memanfaatkan masa cuti musim panas MotoGP ini dengan mengasah kemahirannya dengan menyertai Pirelli Malaysia Superbike Championship (MSBK) 2018, yang akan mengadakan pusingan keduanya pada hujung minggu ini di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Adam akan bersaing dalam 600cc Supersport Championship. Penyertaannya dalam kejohanan kebangsaan ini adalah atas usaha rakan perlumbaan dan juga pemilik pasukan ZK Racing, Muhammad Zulfahmi Khairuddin, yang telah mewakili negara dalam kelas 125cc, Moto3, Supersports World Championship, dan baru-baru ini, dalam Kejohanan Dunia Moto 2 dengan SIC Racing Team.
“Saya tidak sabar menanti hujung minggu ini; terutamanya dengan peluang untuk berlumba bersama dengan saudara saya, Muhammad Ibrahim Norrodin, dengan ZK Racing. Saya akan menggunakan acara ini untuk menyediakan diri saya untuk separuh kedua musim 2018 Moto3. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ZK Racing di atas peluang ini dan saya berharap dapat menggunakan sepenuhnya peluang ini untuk melakukan yang terbaik bagi mendapat keputusan yang terbaik,” kata Adam apabila ditanya mengenai perlumbaan hujung minggu ini.
Becakap mengenai penyertaan Adam, Zulfahmi mengatakan ianya satu penghormatan buat pasukan yang baru ditubuhkannya itu bagi menerima kehadiran Adam dan mekanik SIC Racing Team-nya, Habibtullah Fuad Mohamad pada hujung minggu ini.
“Saya harap penunggang saya yang lain akan mengambil peluang ini untuk belajar sebanyak boleh dari Adam. Begitu juga dengan kru pasukan, mereka boleh mendapatkan nasihat dari Habib yang cukup berpengalaman; menyediakan jentera untuk kejohanan dunia yang sangat mencabar. Harap-harapnya, segalanya berjalan dengan lancar dan ZK Racing dapat mendapatkan keputusan yang baik pada hujung minggu ini,” ujar Zulfahmi.
MSBK akan menganjurkan pusingan keduanya setelah berehat panjang dengan Pusingan 1 yang dilangsungkan pada pertengahan Mei. Selain daripada Supersport Championship, yang dijalankan berdasarkan peraturan 600cc WSBK.
Pusingan 2 MSBK juga akan menyaksikan pusingan pembukaan Desmo Cup 2018 dan Pusingan 3 Idemitsu Asia Talent Cup, selain daripada kategori tradisional MSBK iaitu Superbike, Superstock, dan Super 250.
Selepas perlumbaan Qatar Grand Prix di Losail dan WSBK Thailand di Buriram, Asia Talent Cup (ATC) pada waktu ini didahului oleh penunggang muda Jepun, Haruki Noguchi. Dia telah mengutip sebanyak 95 mata – hasil dari tiga kemenangan dan satu tempat kedua dari 4 perlumbaan; 25 mata di hadapan penunggang Australia Bill Van Eerde, yang mempunyai 70 mata. Mario Aji dari Indonesia berada di tempat ketiga dengan 53 mata. ATC adalah satu program pembangunan junior yang didokong oleh pemilik hak sedunia MotoGP, Dorna. Danial Shahril merupakan penunggang Malaysia teratas dalam lapangan 20 orang penunggang, di tempat kelima; dengan jumlah kutipan 35 mata; mengekori penunggang di tempat keempat, Afridza Munandar dari Indonesia dengan perbezaan 13 mata. Seorang lagi penunggang negara, Ibrahim Pawi, adik kepada penunggang Moto2 negara, Khairul Idham Pawi – berada di anak tangga ke-15 dalam kejuaraan dengan 14 mata.
Bagi TOC Desmo Cup 2018 pula, ianya dianjurkan oleh Desmo Owners Club Malaysia dengan kerjasama TOC Automotive College (TOC). Musimbaharu ini bermula hujung minggu ini untuk kejohanan tiga pusingan tahun ini. Penunggang dalam pertandingan ini dijangka akan mengemudi model Ducati seperti Panigale V4 yang baru dilancarkan, Panigale 899, Panigale 1299, Panigale 1199, Panigale 959, 848, 1098, dan 1198. Setiap pusingan melibatkan satu perlumbaan 10 pusingan mengelilingi litar MotoGP sepanjang 5.543km.
Acara MSBK akan dibuka secara rasmi pada hari Jumaat ini dengan sesi latihan bebas dan sesi kelayakan dan Perlumbaan 1 pada hari Sabtu. Perlumbaan 2 akan diadakan pada hari Ahad.
Para peminat boleh menyaksikan aksi-aksi perlumbaan yang hebat ini secara percuma di Grandstand Utama. Peminat juga boleh mendapatkan pas Paddock bagi mendapatkan akses ke kawasan Paddock dan pemandangan dari bahagian bumbung bertutup di Bangunan Pit. Pas akan dijual di pintu masuk Paddock. Peminat juga boleh mengikuti perlumbaan secara langsung di laman Facebook SIC. Selepas pusingan pembukaan MSBK, penonton telah mencapai lebih daripada 417,813 penonton.
PIRELLI MALAYSIA SUPERBIKE CHAMPIONSHIP 2018
PUSINGAN 2 – PROGRAM PERLUMBAAN
Jumaat, 27 Julai 2018
1130 pagi – 1200 t/hari Idemitsu ATC Latihan Bebas 1
1215 t/hari – 1245 t/hari Supersport Latihan Bebas
Rehat / Sembahyang Jumaat
1415 ptg – 1445 ptg Super 250 Latihan Bebas
1500 ptg – 1530 ptg Superstock Latihan Bebas
1545 ptg – 1615 ptg Idemitsu ATC Latihan Bebas 2
1630 ptg – 1700 ptg Superbike Latihan Bebas
1715 ptg – 1745 ptg TOC Desmo Cup Latihan Bebas
Sabtu, 28 Julai 2018
0915 pagi – 0945 pagi Idemitsu ATC Kelayakan
1000 pagi – 1030 pagi Supersport Kelayakan
1045 pagi – 1115 pagi Super 250 Kelayakan
1130 pagi – 1200 t/hari Superstock Kelayakan
1215 t/hari – 1245 t/hari Superbike Kelayakan
1310 ptg – 1345 ptg Idemitsu ATC Race 1 (13 pusingan)
1415 ptg – 1445 ptg TOC Desmo Cup Kelayakan
1510 ptg – 1550 ptg Supersport Race 1 (12 pusingan)
1615 ptg – 1645 ptg Super 250 Race 1 (8 pusingan)
1710 ptg – 1750 ptg Superstock Race 1 (12 pusingan)
1815 ptg – 1845 ptg Superbike Race 1 (12 pusingan)
Ahad, 29th Julai 2018
1000 pagi – 1040 pagi Supersport Race 2 (12 pusingan)
1105 pagi – 1135 pagi Super 250 Race 2 (8 pusingan)
1200 t/hari – 1240 t/hari Superstock Race 2 (12 pusingan)
1305 ptg – 1345 ptg Idemitsu ATC Race 2 (13 pusingan)
1415 ptg – 1455 ptg Superbike Race 2 (12 pusingan)
1515 ptg – 1555 ptg TOC Desmo Cup Race (10 pusingan)