BMW Motorrad telah memperkenalkan sebuah motosikal sports-tourer kelas pertengahan, BMW Concept 9Cento.
Motosikal Concept 9Cento ini secara asasnya adalah gabungan antara rupa bentuk S 1000 XR dengan enjin F 850 GS.
BMW Motorrad sedang merancang untuk memperkenalkan sebuah motosikal sports-tourer yang baharu dalam rangkaian mereka pada masa yang akan datang.
BMW Motorrad sekali lagi telah muncul dengan sesuatu yang amat mengujakan sewaktu acara “Bike Shed Show” di London beberapa hari yang lalu, di mana mereka telah memperkenalkan sebuah motosikal konsep yang serba baharu, iaitu BMW Concept 9Cento. Bagi memberikan anda gambaran yang lebih jelas lagi, ianya bagaikan sebuah gabungan antara motosikal S 1000 XR dan BMW F 850 GS dalam satu pakej yang mengujakan.
Konsep keseluruhan motosikal 9Cento ini bertumpu kepada menggabungkan dunia sports-touring dengan motosikal kelas pertengahan. BMW Motorrad ada pelan yang besar bagi jentera ini dan ianya seiring dengan permintaan yang senantiasa meningkat untuk motosikal sports-tourer kelas pertengahan yang lebih berpatutan.
Kombinasi bentuk yang ramping, bergaya, kompak, dan dengan alur garis moden bukannya sesuatu yang terlalu jauh di hadapan, sebaliknya, ianya sesuatu yang boleh kita nantikan dalam dua, tiga tahu yang akan datang. Dilengkapkan dengan enjin dua silinder selari 853cc, Ia sudah pasti akan menjadi sebutan ramai apabila ianya mula dikilangkan.
Satu lagi spesifikasi yang mengagumkan tentang motosikal BMW Concept 9Cento ini adalah pannier buatan khasnya. Selain daripada tarikannya yang seksi dan halus itu, pannier-pannier tersebut dipaut pada motosikal menggunakan sebuah elektromagnet yang disisip bawah pelana. Ini memudahkan lagi proses memaut dan menanggalkan pannier-pannier tersebut (yang mana ianya satu ciri yang amat menarik sekali).
Nampaknya, BMW Motorrad ada sebuah motosikal konsep yang amat menarik sekali dan harap-harapnya, kita bakal menyaksikan kehadiran motosikal versi pengeluaran yang sebenar di satu masa yang terdekat ini.