- Enjin Boxer 1250cc serta motosikal yang telah dijananya telah dirombak semula pada setiap generasi.
- Dengan saingan sengit dari semua penjuru, ianya dikhabarkan bahawa BMW akan memperkenalkan model R 1250 GS pada tahun 2019.
- Model R 1250 RT yang baru telah dilihat menjalani ujian jalan raya.
Enjin boxer kebanggaan BMW telah sekian lama berkhidmat untuk BMW dan kelihatan akan terus berkhidmat bagi satu jangka masa yang panjang. Pengeluar gergasi dari Jerman tersebut mungkin telah pun menghasilkan motosikal superbike S 1000 RR berenjin empat selari yang mengagumkan, namun, nama BMW Motorrad sudah tidak dapat dipisahkan dengan enjin flat-twin, atau lebih dikenali sebagai enjin Boxer.
Begitu jugalah keadaannya bagi motosikal GS berenjin Boxer, sejak dari model R80GS yang pertama.
Namun begitu, persaingannya cukup sengit dalam segmen motosikal kembara berkapasiti tinggi. KTM, Ducati, dan kini, Triumph, telah mengambil sebahagian besar daripada segmen tersebut, dan BMW telah pun mengemaskini model R 1200 GS pada setiap generasi.
Dan kini, kita telah menerima berita melalui https://riders.drivemag.com bahawa BMW mungkin sekali sedang mengusahakan sebuah enjin Boxer 1250cc.
Enjin wasser-Boxer semasa menghasilkan 125bhp dan 125Nm tork, namun pesaingnya telah pun menghasilkan 160bhp dan 140Nm. Pemilik BMW mungkin akan memberitahu anda bahawa 125bhp sudah mencukupi, namun, sudah pasti mereka tidak mahu kalah di atas lembaran spesifikasi.
Ianya juga telah dikhabarkan bahawa yang enjin Boxer terbaru ini akan disertakan dengan ‘variable valve timing’. Bersama dengan perubahan-perubahan yang lain, ia boleh sekali mencecah 140 hingga 150bhp.
Khabar angin ini mula tersebar apabila gambar sebuah motosikal R 1250 RT yang baru dilihat sedang menjalani ujian jalan raya telah muncul di MCN. Melihat pada gambarnya yang ada di bawah ini, anda dapat lihat yang ianya mempunyai panel badan yang baru, dan, apan yang lebih mengujakan lagi, adalah apa yang kelihatan seperti sebuah enjin yang baru.
Dan, seperti mana yang sudah diketahui oleh para pemilik BMW, jika ada model RT yang baru, kemungkinan besar ianya akan disusuli dengan sebuah model GS. Lagi pun, memandangkan model GS adalah model utama bagi BMW Motorrad, ia pasti akan dilancarkan terlebih dahulu berbanding model RT.
2019 hanya tinggal beberapa bulan sahaja lagi. Ada sesiapa lagi selain penulis yang tidak sabar menanti kemunculannya?