MotoGP: Hafizh Syahrin Akan Menunggang Bagi Pasukan Monster Yamaha Tech 3?

  • Khabar angin MotoGP terbaru telah menuding kepada kemungkinan Hafizh Syahrin akan mengorak langkah ke kelas premier untuk berlumba dengan pasukan Monster Yamaha Tech 3.
  • Oleh kerana Jonas Folger terpaksa berehat bagi musim 2018, pengurus pasukan Herve Poncharal telah sibuk mencari penggantinya.
  • Tiada apa yang telah disahkan lagi buat masa ini tetapi nama Hafizh Syahrin sudah pasti berada dalam senarai calon bagi mengemudi Yamaha M1 pada musim ini.

 

Gosip MotoGP yang terbaru dan paling menarik sekali buat peminat di Malaysia sudah semestinya mengenai penunggang Moto2 negara, Hafizh Syahrin. Sejak pengumuman penunggang MotoGP, Jonas Folger dari pasukan Monster Yamaha Tech 3, bahawa dia tidak akan berlumba bagi musim 2018 dalam usahanya untuk pulih dari penyakit genetik yang jarang ditemui, pelbagai khabar angin telah tersebar mengenai beberapa calon yang bakal menggantikan tempatnya.

Menurut sebuah laporan yang telah disiarkan di MCN, penunggang berusia 23 tahun itu telah bertekad untuk menjadi penunggang MotoGP pertama dari Asia Tenggara. Mereka berjaya menemubual pengurus pasukan Tech 3, Herve Poncharal, mengenai perkara tersebut. Menurut Pocharal, “Syahrin adalah salah seorang nama baru yang sebelum ini tidak berada dalam senarai namun kini sudah pasti ada di dalamnya – tetapi, percayalah, ianya masih belum diputuskan sepenuhnya buat masa ini.”

“Buat masa ini, saya berasa benar-benar penat menghadapi situasi ini. Kami perlu mengambil berat akan pandangan pengeluar motosikal kami dan juga para penaja kami, dan pada waktu ini, kontrak yang telah saya janjikan kepada mereka adalah bersama Johann Zarco dan Jonas Folger. Benda-benda yang berlainan perlulah dibincangkan bersama dan semua orang ada idea masing-masing dan saya perlu mengendalikan ke semuanya,” tambah Poncharal lagi.

Sewaktu ujian musim sejuk MotoGP di Sepang baru-baru ini, Yonny Hernandez telah menggalas tanggungjawab mengisi tempat Folger untuk ujian tiga hari berkenaan. Dia dianggap sebagai salah seorang penunggang yang telah disenarai pendek bagi mengisi tempat Folger bagi musim 2018 namun memandangkan dia menamatkan ujian di kedudukan P25, kami ragu-ragu yang tempat itu akan diisi penunggang berusia 29 tahun dari Colombia itu.

Tiada apa yang telah disahkan lagi buat masa ini dan pemilihan pengganti bagi musim 2018 untuk menunggang jentera Yamaha M1 bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 masing lagi berjalan. Bagi Syahrin pula, ianya satu cabaran yang besar baginya memandangkan dia baru sahaja mengorak langkah dalam kategori Moto2 dari pasukan Petronas Raceline Malaysia ke sebuah pasukan Moto2 yang baru ditubuhkan oleh SIC Racing.

Hafizh Syahrin telah berjaya menduduki podium sebanyak dua kali pada musim lalu di Misano dan Motegi dan keputusannya yang konsisten telah meletakkannya di P10 secara keseluruhan dengan kutipan mata sebanyak 106 mata bagi musim 2017. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.

Sumber imej: MotoGP

Galeri Gambar Ujian Musim Sejuk Sepang MotoGP 2018

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply