Bagaimana Motosikal Kawasaki ER-6 Berubah Menjadi Ninja 650 dan Z650

 

Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah

  • Motosikal Kawasaki Ninja 650 dan Z650 yang baru telah menunjukkan betapa pesatnya perkembangan rangkaian motosikal 650 Kawasaki.
  • Ianya kini bercirikan enjin, penggayaan, serta teknologi yang baru.
  • Model-model terbaru ini melambangkan kesungguhan Kawasaki dalam mengejar kegemilangan merentasi rangkaian produk mereka.

Ianya tidak dapat dinafikan yang terdapat tiga buah model tertentu yang telah menguasai jalan raya Malaysia di antara tahun 2009 hingga 2015. Model-model ini adalah Kawasaki ER-6f, Er-6n, dan Versys 650 (untuk artikel ini, kami akan bercakap mengena ER-6f dan ER-6n). Mari kita lihat bagaimana model ER-6f dan ER-6n telah berubah menjadi Ninja 650 dan Z650.

Ianya agak tepat untuk menamakan model-model ER-6 ini secara keseluruhannya sebagai pemangkin yang telah memulakan pertumbuhan pesat motosikal, yang dapat kita lihat dengan kemasukan pelbagai motosikal besar yang lain pada ketika ini.

Rangkaian ER-6 bermula pada tahun 2006. Beberapa buah modelnya telah di bawa masuk ke tanah air kita.

Namun begitu, populariti sebenar ER-6 hanya bermula dengan model 2009. Motosikal ER-6f adalah sebuah model ber-reraup penuh, manakala model ER-6n adalah sebuah motosikal roadster naked.

Kedua-dua model ini dibina di atas kerangka, casis dan platform enjin yang sama. Kedua-duanya menyerlahkan pengendalian yang mudah, brek yang bagus, posisi menunggang yang menegak serta selesa, dan enjin yang mencengkam dengan tork yang baik serta perwatakan kuasa yang pasti menggirangkan penunggang baru, berpengalaman, mahu pun yang kembali menunggang setelah lama ‘bersara’. Motosikal-motosikal ini dapat melakukan segala-galanya: berulang alik, tunggangan hujung minggu, perjalanan jarak jauh, sport-touring, dan sehingga satu peringkat, tunggangan atas litar.

Yang terbaiknya, model-model ini adalah yang motosikal besar paling mampu milik di bawah paras RM40,000, kerana ianya merupakan model-model pertama yang di bawa masuk secara CKD (Complete Knock Down).

Begitu popular rangkaian ER-6 ini sehinggakan sekolah memandu di Malaysia mula menggunakannya sebagai motosikal latihan serta ujian untuk ujian lesen B Penuh.

Enjinnya adalah sebuah enjin Twin-selari, 649cc, suntikan bahanapi lapan injap, DOHC, sejukan cecair yang ringkas. Ia menghasilkan sehingga 71hp dan di antara 66Nm (dari 2006 hingga 2011) dan 64Nm (2012-2016) tork. Nota bunyi ekzosnya yang amat mudah dikenali itu adalah hasil daripada engkol 180 darjah.

EVOLUSI

Varian ER-6 (digelar Ninja 650R di sesetengah negara) telah membuat kemunculan sulungnya pada tahun 2006. Generasi kedua ER-6 pula telah muncul di antara tahun 2009 hingga 2011, sebelum digantikan dengan generasi ketiga dari tahun 2012 hingga 2016.

Perubahan yang kecil sahaja pada bahagian luaran serta bahagian mekanikal dalaman telah dibuat di antara tahun 2006 hingga 2011. Model 2012 pula telah menyaksikan rombakan terhadap penggayaan, pelana bertingkat, kapasiti tangki bahanapi yang lebih besar, kerangka yang baru, serta suspensi dengan ruang gerakan tambahan. Motosikal ER-6f tampak lebih tangkas dan sporty, manakala ER-6n tampak jauh lebih gagah.

Enjinnya tidak diusik langsung, kecuali dikurangkan sedikit nisbah pemampatannya. Wasap telah dipam melalui sistem ekzos yang telah dibikin semula. Pemetaan pengurusan enjin yang baru telah ditala bagi mendapatkan tork di tahap yang lebih rendah pada jangkauan enjin itu, yang mana telah merendahkan sedikit kuasa kemuncak motosikal itu. Kawasaki juga telah memperkenalkan penunjuk ECO pada paparan LCD-nya.

Dan kerana penulis sendiri memiliki model 2011, penulis merasakan yang versi 2012 ini melambangkan kemuncak evolusi model ER-6, di mana penulis telah menguji kedua-dua versi -f dan -n. Kuasanya diagihkan dengan lancar, pelananya lebih selesa dan yang paling penting sekali, pengendaliannya jauh lebih baik dan lebih stabil daripada motosikal penulis sendiri. Ia dapat dihidupkan dengan mudah dan tidak pernah meragam.

Kemudiannya, Kawasaki telah memperkenalkan model 2017.

Kawasaki telah meluputkan nama ER-6. Versi ber-reraup penuh kini dinamakan Ninja 650, menyelaraskannya dengan satu gelaran yang universal. Versi naked pula telah digelar sebagai Z650, dan digolongkan bersama rangkaian motosikal naked Kawasaki yang lain. Kedua-dua Ninja 650 dan Z650 berkongsi enjin dan komponen casis yang sama.

PENGGAYAAN

Ninja 650 yang baru ternyata lebih menonjol apabila dibandingkan bersebelahan dengan model 2011, menunjukkan betapa besar perubahan serta peningkatannya dalam satu jangka masa yang singkat.

Pada pandangan pertama, motosikal Ninja 650 ini kini nampak agak mirip dengan motosikal superbike Kawasaki yang telah memenangi berbilang perlumbaan dan kejuaraan, ZX-10R, terutamanya apabila dilengkapi dengan skema warna edisi khas KRT. Lampu hadapannya itu tampak ala-pemangsa dan reraupnya melitupi kemas di sekeliling badannya.

Bercakap mengenai reraupnya pula, motosikal Ninja 650 yang baru ini masih lagi bercirikan bukaan sisi yang besar bagi mengudarakan udara yang panas, tetapi bahagian belakang liang udara itu telah dibesarkan dan dikembangkan bagi menolak udara panas jauh dari bahagian peha penunggang. Selain itu, bahagian belakang reraup itu melekap rapat pada badan motosikal, mengurangkan udara panas naik ke bahagian kelangkang penunggang.

Hasilnya teramatlah berkesan apabila dibandingkan, terutamanya dengan model 2011 dan satu peningkatan yang ketara dari model 2012.

Walaupun Ninja 650 ini mungkin tampak ‘sporty’, Kawasaki telah mengambil langkah yang bijak dalam rekaan ergonomiknya, menjadikan motosikal ini mesra untuk lapisan luas penunggang. Palang pemegangnya terletak tinggi dan sedikit ke hadapan, pelana penunggangnya rendah (ketinggian pelana 790mm), dan tuilnya boleh dilaras 5 cara.

Sebuah panel instrumen pelbagai fungsi yang baru telah dipasang, dan ianya didatangkan dengan perincian yang dinanti-nantikan, penunjuk kedudukan gear, ‘shift light’, dan penunjuk ECO. Jarum takometernya bertukar warna dari putih ke merah jambu ke merah apabila ianya bergerak.

Motosikal Z650 pula, telah dilengkapi dengan rekaan Sugomi Kawasaki (Sugomi membawa maksud ‘hebat’ dalam bahasa Jepun) yang memberikannya rupa yang ketara organik. Kawasaki telah menerangkan yang mereka melihat kekuda Z650 ini seperti seekor Harimau Bintang yang sedang mengendap mangsanya, dalam posisi mendekam, dengan kepalanya rendah dan ekor menegak ke atas.

Sebuah motosikal lumba naked perlu nampak garang dan gambaran berkenaan adalah satu ilham yang hebat.

Namun begitu, tidak seperti Ninja 650, panel intrumennya mempunyai rekaan yang berbeza bagi memuatkannya di sebalik “flyscreen”-nya itu. Takometer diletakkan pada bahagian atas paparan LCD, dengan penunjuk kedudukan gear di bahagian tengah. Jarum takometer berkelip-kelip pada had rev yang ditetapkan oleh penunggang.

Motosikal Z650 berkongsi rekabentuk yang sama dengan Ninja 650 (seperti apa yang akan kami kongsi di bawah nanti), dan oleh kerana itu, ianya mempunyai ketinggian pelana yang sama, iaitu 790mm.

ENJIN

Kawasaki telah membikin semula enjin Twin-selari yang cukup dikenali itu bagi melengkapkannya dengan ‘cam profile’ baru untuk mengurangkan jangkamasa pertindihan injap (untuk daya kilas tahap rendah dan sederhana yang lebih baik); ‘throttle body’ 36mm yang lebih kecil untuk tindakbalas pendikit yang lebih lancar dan jitu; serta sistem ekzos yang baru. Ke semua perubahan ini secara keseluruhannya menghasilkan linkungan tork yang lebih luas bagi membekalkan kuasa kepada penunggang di mana sahaja (dalam jangkauan rev), pada bila masa sahaja ianya diperlukan.

Mana-mana pemilik ER-6 sebelum ini, termasuk penulis, boleh memberitahu anda yang tork belakang enjin yang kuat (pembrekan enjin) kadang kala boleh mengganggu peralihan menyelekoh yang lebih lancar (kerana anda ditarik ke belakang oleh pembrekan enjin yang kuat, yang menyebabkan motosikal untuk kehilangan halaju, diikuti dengan ketidakstabilan dan keengganan untuk memusing, dan akhirnya menyebabkan penunggang hilang keyakinan), selain daripada berhadapan dengan lompatan roda belakang (atau pun seretan) sekiranya kita menurunkan gear secara terlalu agresif.

Kawasaki menangani masalah ini dengan melengkapkannya dengan klac ‘assist-and-slipper’. Fungsi ‘slipper’ itu adalah satu penambahan yang baik sekali, membolehkan kemasukan selekoh yang lebih lancar dan menghapuskan lompatan roda. Fungsi ‘assist’ pula membolehkan pertukaran ke gear yang lebih tinggi dengan mudah, dengan menggunakan ‘cam’ yang berfungsi sebagai mekanisma servo yang menarik hab klac dan seiring itu mengerjakan plet, bagi memampatkan plet klac sewaktu pemecutan.

KERANGKA DAN CASIS

Kawasaki juga telah memberikan motosikal-motosikal 650 yang baru itu sebuah kerangka keluli yang baru, yang mana ianya 15kg lebih ringan berbanding pendahulunya – menyumbangkan berat keseluruhan serendah 193kg dan 187 bagi Ninja 650 dan Z650. Seksyen badannya telah dibuat selurus yang boleh bagi menala kerangkanya untuk pembahagian hentakan dan juga beban. ‘Rake’-nya pula pada kadar 24 darjah yang ‘sporty’.

Bergerak ke bahagian bawahnya, motosikal ER-6 (dan Versys) yang terdahulu telah melengkapkan penyerap hentakan belakangnya pada sebelah kanan motosikal, menyambungkannya terus ke kerangka dan lengan ayun secara terus tanpa sebarang pautan. Melaraskan pra-muat hentakannya cukup mudah sekali, tetapi ada juga penunggang yang merungut akan ketidakseimbangan sewaktu menyelekoh (tetapi ini adalah subjektif, kerana banyak motosikal yang menggunakan aturcara sebegini).

Penyerap hentakan baru kini dilengkapkan dalam format ‘horizontal back-link’ untuk aksi yang lebih progresif. Tetapi, daripada memasang sebahagian dari penyerap hentakan dan pautan di bawah lengan ayun, ianya telah diletakkan pada bahagian atasnya. Ianya juga bagi memastikan komponen-komponen berkenaan dijauhkan daripada haba enjin. Lengan ayunnya itu kini adalah sebuah unit yang melengkung (lebih kuat di samping memastikan jarak antara roda kekal pendek).

BREK

Daya henti motosikal-motosikal ini dikendalikan oleh sepasang angkup dwi-omboh Nissin yang menggenggam cakera berkelopak 300mm pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakangnya pula dikendalikan oleh sebuah angkup satu-omboh yang mencengkam cakera berkelopak 220mm. ABS didatangkan sebagai kelengkapan standard untuk kedua-dua bahagian hadapan dan juga belakang.

Jika sebuah motosikal itu adalah hasil keseluruhan bahagiannya, ianya amat mudah bagi kita untuk menganggap yang Ninja 650 dan Z650 sebagai evolusi motosikal ER-6f dan ER-6n yang hadir sebelumnya. Ianya mudah untuk dikendali, praktikal, ekonomikal, bergaya dan pada masa yang sama, mampu memberikan pengalaman penunggangan yang mengujakan bagi penunggang baru mahu pun yang sudah berpengalaman.

Tambahan pula, harganya itu tidak dapat ditandingi.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]