- Sebuah motosikal ‘flat tracker’ Yamaha XJR1300 buatan khas istimewa telah dihasilkan buat penunggang pasukan Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi.
- Diberikan nama gelaran “Mya”, motosikal ‘flat tracker’ buatan khas ini telah dibina dan direka oleh VR46 Riders Academy bersama dengan pembina pakar, Rodolfo Frascoli.
- Motosikal XJR1300 buatan khas ini dilengkapi dengan lampu hadapan R1, suspensi Ohlins, ekzos berkembar Akrapovic, dan sepasang roda berjejari 19 inci.
Apakah hadiah yang sesuai sekali buat seorang juara dunia MotoGP sembilan kali dengan jutaan peminat di seluruh dunia? Sudah pasti tugas untuk mencari hadiah berkenaan akan membuatkan ramai akan berasa gugup tetapi bagi mereka yang berada di VR46 Riders Academy, mereka telah berjaya mendapatkan sesuatu yang agak mengagumkan buat satu-satunya bos besar mereka, Valentino Rossi.
Diberikan nama gelaran “Mya”, sebuah motosikal Yamaha XJR1300 telah dipilih untuk projek yang amat istimewa ini. Kebanyakan daripada kita pasti tidak terfikir untuk memilih motosikal ini, tetapi, sekiranya anda adalah Valentino Rossi, yang juga merupakan seorang penunggang bagi pasukan pengilang Yamaha yang mampu mendapatkan mana-mana sahaja motosikal perlumbaan Yamaha yang anda inginkan, sudah pasti ada sebabnya anda memilih jentera yang agak ‘veteran’ ini.
Dengan bantuan daripada Rodolfo Frascoli, yang juga telah merekabentuk motosikal konsep Suzuki Katana 3.0, mereka telah memulakan kerja untuk mengkhususkan motosikal XJR1300 ini menjadi sebuah motosikal ‘flat tracker’ yang muktamad. Di bahagian hadapannya, sepasang lampu hadapan yang telah diambil daripada motosikal Yamaha YZF-R1 yang baru telah digunakan bagi memberikannya rupa paras yang tersendiri.
Berselindung di sebalik lapisan kemasan cat motosikal yang mengagumkan ini adalah beberapa kelengkapan yang menakjubkan. Pakej suspensinya telah diperkemaskini dengan kelengkapan Ohlins yang berwarna keemasan manakala sistem ekzosnya pula dipertingkatkan lagi dengan bantuan ekzos berkembar sistem sepenuhnya Akrapovic.
Untuk melengkapkan lagi gaya dan aura motosikal ‘flat tracker’ ini, sepasang roda berjejari 19 inci yang dilitupi dengan tayar yang sesuai untuk sebuah motosikal ‘flat tracker’ telah disertakan. Hasilnya? sebuah motosikal buatan khas yang pasti akan memikat sesiapa sahaja yang memandangnya, walaupun bagi “Yang Terhebat Sepanjang Zaman”. Hebat sungguh hidup sebagai “The Doctor”.
Sumber :Asphalt & Rubber