Artikel oleh: Wahid Ooi Abdullah
- Motosikal BMW R nineT Racer adalah motosikal cafe racer dalam rangkaian motosikal R nineT.
- Ianya sebuah motosikal moden retro yang bersusur-galur dari motosikal R90S.
- Pengendalian yang baik, enjin yang penuh dengan daya kilas, serta rupa paras yang menawan adalah tanda pengenalannya.
Saya pernah mempunyai seorang teman wanita yang cantik, bijak dan juga tidak bergantung pada sesiapa pun, satu pakej yang lengkap. Ada sahaja yang benda yang boleh sembangkan, yang boleh kami kongsi, termasuklah minat kami pada filem, muzik, kehidupan dan juga motosikal.
Dia agak tinggi, dengan casis yang baik dan dimensi yang tepat pada tempatnya. Bila dia senyum, bibirnya melirik nakal. Bila dia memandang saya, matanya menusuk tajam hingga ke jiwa, menyemarakkan berahi yang tidak pernah saya rasa.
Ke mana sahaja kami pergi, lelaki lain pasti akan merenungnya tanpa segan silu. Langsung tidak mereka sembunyikannya di sebalik jelingan tanpa sengaja. Sudah pasti saya dapat ‘baca’ apa yang bermain di fikiran mereka. Cemburu? Ya. Namun, pada masa yang sama saya berasa bangga kerana dia memegang erat lengan saya. Ya, tengoklah semahu anda, dia tetap milik saya.
Apa lagi yang saya inginkan, bukan?
Namun, di balik tabir, semuanya berkisar mengenai dia. Pendapat saya tidak dihiraukan. Saya berhenti keluar bertemu teman-teman saya hanya untuk mengetahui dia keluar berparti bersama rakan-rakannya sewaktu saya pulang ke rumah. Saya belikan hadiah paling mahal yang saya mampu untuknya, tetapi ianya tidak mencukupi. Dia merungut tidak kira ke mana sahaja saya bawanya keluar, tidak kisahlah yang ianya menelan belanja sehingga rm400 hanya untuk makan malam.
Tetapi segala perasaan sakit hati itu bertukar menjadi rungutan yang tidak bermakna sebaik sahaja dia tersenyum, dan terutamanya sewaktu saya ternampak akan raut wajah lelaki-lelaki yang lain apabila saya bersama dia.
Pedih sungguh cinta ini.
Sewaktu ketua pereka BMW Motorrad, Ola Stenegard, mendapatkan khidmat Roland Sands untuk “membuat sebuah BMW”, pembina buatan khas tersohor itu telah membina Concept 90 Prototype yang diilhamkan dari sebuah jentera perlumbaan jalan raya terkenal BMW, R90S.
Kami berasa sangat teruja sewaktu kami melihat jentera R90 Concept itu, yang berseri-seri dengan kemasan warna klasik oren metalik, reraup separuh retro yang merumahkan sebuah lampu hadapan bulat. Namun, apabila pengilangan R nineT dimulakan, kami tertanya-tanya sekiranya BMW Motorrad akan menghasilkan sebuah motosikal cafe racer seperti motosikal R90 Concept itu.
Ianya telah tiba. Motosikal BMW R nineT Racer, lengkap dengan reraup separuh yang dilekapkan pada kerangka, palang pemegang ‘clip-on‘, pelana kecil, bonggol pelana, dan skema warna BMW Motorsport vintaj. Setiap komponen melengkapi satu sama lain.
Motosikal BMW R nineT Racer merupakan satu lagi varian yang telah dibina di atas platform R nineT, bagi melengkapkan lagi R nineT yang asas, (TEKAN SINI untuk membaca ulasan kami), R nineT Scrambler, R nineT Pure, dan juga sebuah motosikal yang baru sahaja dilancarkan, R nineT Urban G/S (TEKAN SINI untuk membaca ulasan kami). Ini bermakna yang motosikal R nineT Racer ini berkongsi enjin Boxer 1178cc ‘oilhead‘ dan kerangka yang sama dengan saudara-saudaranya, tetapi, setakat itu sahaja persamaan mereka.
Tidak seperti motosikal R nineT asas, fork pada motosikal R nineT Racer ini adalah fork teleskopik konvensional, dan tidak boleh dilaras manakala tangki bahanapinya pula diperbuat daripada keluli dan bukannya aluminium. Rodanya pula merupakan buatan roda tuangan aluminium 17 inci, dan bukannya jenis jejari bersilang.
Di sebalik reraupnya terdapat dua pemapar analog dengan skrin LCD yang digunakan untuk memaparkan pelbagai maklumat. Namun, ianya tidak
dilengkapkan dengan tolok bahanapi. Tekan butang penghidupnya dan enjin Boxer-berkembar akan meraung seperti motosikal R nineT yang lain – dengan ‘tendangan’ ke arah kanan. Namun, itulah perwatakan enjin Boxer sejak berdekad lamanya. Daya penariknya terletak pada cara ianya bergetar dan mengoncangkan cermin pandang belakang, mengingatkan anda yang ianya bernyawa dan bukannya sekadar ‘dihidupkan’. Ia merentasi jangkauan revolusinya dengan baik sekali, yang mana ianya lebih menitikberatkan pada daya kilasnya berbanding kuasa kuda sepenuhnya.
Untuk pengendaliannya, motosikal Racer ini bukanlah sebuah motosikal yang boleh anda gunakan untuk menangani selekoh dengan sewenang-wenangnya. Jarak antara roda yang panjang, ‘rake‘ dan ‘trail‘nya yang banyak, dan ketinggiannya yang rendah menjadikannya sebuah motosikal yang cukup gembira menangani selekoh panjang dan laju seperti yang terdapat di Terowong Menora dan Karak. Tetapi, sebaik sahaja ianya condong ke sisinya, ianya agak berhayun. Suspensinya cukup lembut sekali bagi menangani sebarang kecelaan jalan, walaupun ianya ‘berteknologi rendah’.
Brek hadapan Brembonya cukup kuat sekali. Hanya dengan tarikan tuil dua jari sahaja cukup membuatkan anda rasa seperti sarapan anda ingin keluar dari dalam perut anda.
Jujur dengan nama Racernya itu, posisi duduknya dipanjangkan – capaian panjang ke palang pemegangnya, badan rapat di atas tangki bahanapi, kaki diinjak ke belakang, lutut dinaikkan dan punggung ke atas. Seperti sebuah motosikal lumba tahun 70-an dan 80-an. Atau pun basikal perlumbaan jalan raya. Pemusatan jisim langsung tidak dihiraukan. Penulis pernah memiliki motosikal Cagiva Mito dan Ducati 916 pada awal tahun 90-an, jadi posisi menunggang R nineT Racer ini tidaklah terlalu asing, melainkan jika dibandingkan dengan motosikal lumba semasa seperti S 1000 RR.
Sudah pasti, ianya lebih memenatkan berbanding dengan motosikal dengan posisi menunggang tegak. Dengan badan sentiasa memeluk tangki, bahagian atas badan disokong oleh otot di belakang dan otot teras, anda perlu meregangkan badan apabila berhenti selepas menunggang sejauh lebih kurang 150 kilometer.
Namun begitu, saya telah menunggang motosikal ini dari Pulau Pinang hingga ke hentian R&R Sg. Buloh, dengan beg galas yang diisi dengan laptop, kamera, pakaian, kelengkapan dandanan diri di belakang saya, dan ianya tidaklah menyebabkan saya kelihatan seperti si bongkok Igor dari Notre Dame.
Enjinnya sudah cukup baik, tetapi apa yang menjadikan motosikal R nineT Racer ini sebuah motosikal yang hebat adalah rupanya.Dan ianya benar-benar menawan. Masyarakat umum di Malaysia secara amnya telah biasa melihat motosikal besar dan tidak banyak motosikal superbike yang dapat menarik perhatian mereka lagi.
Tetapi, lain pula kesnya bagi R nineT Racer ini. Ianya bagaikan mempunyai aura tersendiri.
Seringkali kami akan kembali ke motosikal ini dan mendapati ianya dikerumuni, tidak kiralah di mana kami memarkirnya. Pakcik-pakcik akan mengelilingi motosikal ini, dengan senyuman meleret pada wajah mereka. Malah, penunggang motosikal yang lain akan berhimpun di sekelilingnya dan akan bertanya bermacama-macam soalan. Parkirlah motosikal ini di mana sahaja dan ianya pasti akan memeriahkan premis berkenaan. Berhenti sahaja di lampu isyarat dan semua orang akan merenungnya bagaikan ianya Claudia Schiffer.
Soalan utama yang sering ditujukan adalah “Tidak penatkah bergantung atas motosikal macam itu?” “Tidaklah, ok jer,” jawapan yang kami berikan. Dan sekiranya ditanya motosikal dalam rangkaian R nineT yang mana satukah yang menjadi pilihan kami, kami akan menjawab, “The Racer” tanpa ragu-ragu.
Demi cinta ini, segalanya aku harungi.
Spesifikasi Teknikal
ENGINE | |
Engine type | Air/Oil-cooled, 4-stroke, DOHC, 4 valves per cylinder, horizontally-opposed (Boxer) Twin |
Compression ratio | 12.0 : 1 |
Bore X Stroke | 101 mm X 73 mm |
Displacement | 1170 cc |
Fuel system | Electronic intake pipe injection |
Maximum power | 110 bhp (81 kW) @ 7750 RPM |
Maximum torque | 116 Nm @ 6000 RPM |
TRANSMISSION | |
Clutch | Single dry plate clutch, hydraulically actuated |
Gearbox | Constant mesh, 6-speed, shaft drive |
CHASSIS | |
Front suspension | 43mm telescopic forks, 125mm travel |
Rear suspension | Single central shock absorber adjustable for preload and rebound damping. 120mm travel |
Front brakes | Two 320mm floating discs, Brembo four-piston calipers |
Rear brake | Single 265 mm disc, Brembo two-piston floating caliper |
ABS | BMW Motorrad ABS, front and rear |
Front tyre | 120/70-ZR17 |
Rear tyre | 180/55-ZR17 |
FRAME & DIMENSIONS | |
Frame | Three-part frame consisting of one front and two rear sections; load-bearing engine and transmission; rear set frame removable for single rider |
Swingarm | Cast aluminium single-sided swingarm with BMW Motorrad Paralever |
Trail | 103.9 mm |
Rake | 26.4 degrees |
Wheelbase | 1491 mm |
Seat height | 805 mm |
Wet weight | 219 kg |
Fuel capacity | 17 litres |