ARTIKEL OLEH: KESHY DHILLON
Kebanyakan daripada kita hanya mampu mengimpikan untuk meninggalkan segala kerja-kerja harian, menaiki motosikal kita, dan menunggangnya ke suatu tempat yang amat jauh. Tanggungjawab pekerjaan dan keluarga mengikat kita daripada menjadi benar-benar bebas, namun, ada sesetengah orang yang telah pun mengecapi impian itu setiap hari.
Sejak sekian lama, impian penulis adalah untuk menunggang dari Kuala Lumpur ke London. Dan kemudiannya, mungkin sekali terbang ke Amerika Syarikat dan menunggang merentasi lebuhrayanya yang terbentang luas, dan terbang semula merentasi Lautan Pasifik ke Benua Asia sebelum menunggang motosikal penulis kembali ke Kuala Lumpur. Sehingga ke hari ini, ianya masih menjadi sekadar sebuah impian. Buat masa ini.
Tetapi, ada seorang insan yang dikagumi penulis, yang penulis harap dapat mengikuti jejak langkahnya, dan yang telah banyak memperolehi ilmu daripadanya semasa sesi temubual 3 jam kami; Faizal Sukree, atau lebih dikenali di seluruh dunia sebagai ‘Mr. GS’ Malaysia.
Faizal bukan sahaja dapat menunggang ke mana sahaja, bila-bila masa sahaja yang dia mahu, malah, kadang-kadang, dia dibayar untuk melakukannya. Disebabkan oleh pengalamannya yang meluas dalam menunggang di seluruh dunia, dia juga merupakan juru pandu jelajah motosikal yang sempurna. Bagi mereka yang ingin menjelajah dunia di atas dua roda bolehlah mengupah Faizal sebagai juru pandu anda. Dia menguruska segalanya dari hal ehwal logistik, hinggalah ke merancang laluan, makanan, permit, di mana anda akan bermalam, segalanya akan diuruskannya.
Menunggang mengelilingi dunia memerlukan keberanian, kemahiran, semangat yang tinggi, kesabaran, kefahaman budaya, dan yang paling penting sekali, ia memerlukan anda mempunyai ramai hubungan.
“Saya ada ramai teman di seluruh dunia, dan mereka sentiasa bersedia membantu sekiranya saya memerlukan pertolongan. Saya juga sedia membantu mereka sekiranya mereka sedang menunggang di rantau ini, jadi, kami sentiasa saling bantu membantu,” ujar Faizal semasa pertemuan kami beberapa ketika yang lalu di La Bodega, Pusat Membeli Belah Bangsar.
Penulis telah mencuba untuk mendapatkan sesi temubual bersama Faizal berbulan lamanya, tetapi dia sedang sibuk mengembara ketika itu jadi ianya mengambil masa sebelum jadual kami serasi.
Penunggang global (timangan yang sesuai untuk mereka) mempunyai sesuatu yang istimewa mengenai diri mereka. Sering kali, mereka kelihatan agak terasing daripada dunia yang materialistik. Gaya berpakaian mereka, rambut mereka, aura mereka, cara mereka bercakap, ianya bagaikan mereka tidak tertarik dengan segala kemewahan dunia. Sewaktu kami berbual tentang motosikal, dia tampak seperti tidak begitu berminat. Seakan-akan dia tidak ingin berada di situ, yang dia lebih suka menunggang ke tempat yang jauh daripada berada di tempat itu. Ianya satu perkara yang amat kami fahami, mengapa bersusah payah memikirkan hal-hal seharian apabila anda lebih gembira menunggang.
“Apa yang saya perlukan hanyalah motosikal BMW GS 800 saya. Saya ada beberapa buah motosikal, ada yang jarang didapati, ada daripadanya adalah motosikal litar, sebahagiannya adalah motosikal kegunaan harian, tetapi yang paling saya inginkan dan yang amat menarik perhatian saya adalah BMW GS 800,” terang Faizal.
Dia berkata yang BMW GS 800 menonjol di antara kira-kira sedozen motosikal miliknya kerana keringkasan dan ketegapannya.
“Ia menggunakan pacuan rantai yang dapat saya baiki di mana sahaja di seluruh dunia. Ianya tidak dilengkapi dengan elektronik yang banyak, klacnya hanya mengambil masa sejam untuk diperbaiki. Saya tidak perlu risau mengenai minyak hidraulik untuk klac berkenaan kerana F800 ini menggunakan wayar klac. Ianya ringkas dan mudah untuk digunakan di mana-mana sahaja di seluruh dunia,” terangnya lagi.
“Sebagai contoh, sekiranya anda mengalami kerosakan di tengah-tengah Mongolia, anda hanya akan boleh mendapat alat ganti dari Beijing,”
Faizal telah pun menunggang dari usia 16 tahun. Dia memiliki motosikal YZ125 yang telah ditunggangi ke sekolah dan ke mana-mana sahaja. “Ibu saudara saya yang membelikannya untuk saya kerana keluarga saya tidak pernah membenarkan saya untuk memiliki motosikal pada masa itu,” kata Faizal, mengimbau kembali kisahnya.
Walau bagaimanapun, Ayah kepada dua orang anak berusia 40 tahun ini hanya memulakan kerjaya penunggangan kembaranya pada tahun 2007, semasa dia dan jirannya membeli sebuah BMW GS 1200. Sewaktu itulah, katanya, dia telah ‘kena racun’ untuk keluar mengembara. Mereka telah menunggang ke Indo-China, Mae Hong Soon, Laos, sekitar Segitiga Emas. Mereka telah mengembara dengan kerap sekali dalam dua tahun itu, dia lebih kerap berada di atas jalan raya berbanding berada di rumahnya, dan kemudiannya dia telah bertukar ke model GSA. Namun, pertukaran itu tidak berhasil baginya kerana motosikal itu terlalu besar dan berat untuk ditunggangnya ke semua tempat, dan sewaktu itulah Faizal menemui motosikal F800.
Jadi, apakah yang telah mengilhamkan seseorang itu untuk bangkit dan menunggang ke seluruh dunia? Pastinya ada satu pencetus utama. Bagi Faizal, pencetusnya adalah sebuah filem – The Motorcycle Diaries. “Sebenarnya, tiada sesiapa yang betul-betul mengilhamkan saya untuk keluar menunggang, tetapi apabila saya menonton filem ini, ianya telah memberi semangat kepada saya untuk keluar dan menunggang,” kata Faizal, apabila ditanyakan mengenai inspirasinya.
The Motorcycle Diaries merupakan sebuah kisah yang menarik mengenai masa muda Che Guevara (pejuang kebebasan yang terkenal, yang merupakan sahabat karib Fidel Castro) yang telah menjelajah seluruh Amerika Selatan dengan menunggangi motosikal bersama seorang teman. Ianya ketika pengembaraan inilah Che telah didedahkan mengenai ketidaksamaan dan eksploitasi oleh industrialis kaya terhadap rakyat Amerika Selatan. Ianya dianggap sebagai filem yang mesti ditonton buat penggemar motosikal. Saksikanlah trailer filem berkenaan di atas.
Bagi seseorang yang sering berada di atas jalan raya, pasti banyak kisah-kisah menggerunkan yang dapat di kongsi, tetapi tidak bagi Faizal. Semestinya terdapat kesukaran-kesukaran yang biasa dialami seperti melintasi sempadan, rintangan bahasa, penguatkuasa yang egoistik, dan sebagainya, tetapi di antara pengalamannya yang paling menakutkan buat pengembara muda ini berlaku berdekatan Artik, lebih tepat, di Alaska.
“Saya sedang menunggang di sepanjang laluan ais dan salji apabila saya tiba-tiba teringat yang saya telah mengeluarkan pisau saya sewaktu hentian isian semula saya yang sebelum ini. Saya menyedari yang saya mungkin telah tertinggal pisau itu di stesen berkenaan. Saya meraba-raba jaket saya sewaktu menunggang, cuba untuk mencari pisau itu. Saya terleka dan tidak perasan akan selekoh tajam yang berada di hadapan. Keseluruhan jalan diliputi salji putih jadi saya tidak menyedari akan selekoh tajam berkenaan sehinggalah ianya terlambat. Tiba-tiba, saya terjunam dan bergolek ke dalam jurang sedalam 30 meter.”
“Tiada sesiapa pun yang berada di situ. Saya menunggu dengan resah dalam kesejukan selama setengah jam sebelum seorang pemandu trak melewati jalan itu. Dia menggunakan talinya untuk menarik keluar motosikal itu dari jurang berkenaan. Motosikal itu telah mengalami kerosakan yang ekstensif, tetapi masih boleh ditunggangi. Saya melakukan kerja pembaikan pantas, dan menunggangnya sejauh kira-kira 2000 kilometer sebelum saya dapat membaiki ke semua kerosakannya. Saya amat yakin akan motosikal BMW F800 GS saya. Saya telah menungganginya sejauh 172,000 kilometer tanpa sebarang masalah. Dan
masalah besar pertama hanya muncul sewaktu tibanya saya di Seattle, apabila kipas radiator perlu diperbaiki.”
Faizal mempunyai banyak kisah-kisah yang menarik, seperti bagaimana dia berunding dengan berhati-hati dengan sekumpulan lelaki bersenjatakan raifal AK-47 di sempadan Afghanistan dan Tajikistan. Tetapi kenangan manis jauh menenggelami yang sebaliknya bagi Faizal. Bahasa isyarat serta rokok berjaya meredakan situasi berkenaan bagi Faizal serta kumpulannya.
Yang paling dikenanginya adalah memori sebuah keluarga yang berada di Tajikistan.
“Ianya malam yang dihujani dengan ribut salji, dan keadaannya semakin teruk. Saya bersama dengan sekumpulan penunggang dan kami telah tiba di laluan genting gunung sewaktu ribut itu membadai dengan hebatnya. Saya ternampak seorang budak berusia lima tahun di situ, yang menggesa saya untuk berhenti, jadi kami berhenti. Beberapa ketika kemudian, bapa kepada budak itu tiba di situ dan mempelawa kami ke rumah mereka untuk berlindung. Saya terpaksa berlindung di rumah itu selama dua hari, menantikan ribut itu reda. Mereka telah menjamu kumpulan kami dan memastikan kami selesa. Kami meneruskan penunggangan kami selepas 2 hari itu, dan pada masa itulah kami menyedari betapa besarnya bantuan mereka kerana jalan di hadapan amat teruk sekali. Tidak mungkin sekali kami dapat meredahi ribut berkenaan di atas jalan yang dalam keadaan sebegitu.”
Kita pasti menyangkakan bahawa seorang lelaki yang telah menunggang merentasi 82 buah negara dalam 6 buah benua pastinya tiada lagi tempat yang tidak pernah dijelajahinya, namun, Faizal masih belum pernah lagi menunggang di Afrika. Dia menggelarkan Afrika sebagai tunggangan sekali dalam seumur hidup, dan kini sedang merancang satu penunggangan merentasi benua berkenaan. “Ianya akan mengambil masa selama 6 bulan untuk saya menunggang merentasi Afrika, tetapi ianya menjadi impian saya untuk melakukannya. Saya ingin mengalami sendiri negara-negaranya, haiwan-haiwannya, penduduknya, rupa bentuk
muka buminya. Saya akan menunggang di Afrika dalam masa terdekat, dan kini saya sedang bersiap sedia untuk tunggangan berkenaan.”
Selain menjadi seorang penggemar pengembaraan yang tegar, Faizal juga merupakan wakil Malaysia yang pertama di pertandingan yang amat mencabar dan gemilang, BMW GS Trophy. GS Trophy merupakan cabaran motosikal kembara terbesar di dunia, dan Faizal mengatakan yang ianya adalah penghormatan terbesar buat dirinya, terpilih untuk mewakili Malaysia dalam pertandingan berkenaan.
“Saya sedang menunggang di Maghribi sewaktu saya menerima berita yang saya telah terpilih untuk mewakili Malaysia. Dengan segera saya menunggang sejauh 3,000km menuju ke Madrid, tinggalkan motosikal saya di kedutaan Malaysia di sana. Saya terbang pulang ke Malaysia untuk berehat selama beberapa hari. Selepas itu saya terbang ke Phuket, Thailand untuk acara kelayakan, dan kemudiannya ke Chiang Mai bagi acara akhir. Ianya satu kehormatan bagi saya untuk bertanding dengan penunggang GS terbaik di seluruh dunia.”
Faizal adalah antara sebilangan kecil pengembara sebenar yang masih lagi ada kini, yang dapat meninggalkan segalanya dan pergi mengembara dan
menjelajahi dunia. Sewaktu saya sedang mengarang artikel ini, dia sedang berada di suatu tempat di Eropah, saya tahu kerana dia kerap memuatnaik
gambar-gambar pemandangan yang indah di laman Facebook serta Instagram-nya dan ianya membuatkan penulis berasa iri hati.
Faizal adalah penunggang sejati yang syukur kerana mendapat sokongan serta restu Isteri dan keluarga
Semua gambar oleh Faizal Sukree dan rakan-rakannya.
Untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai BMW F800 GS, TEKAN SINI.