- Hari 1 bagi Pusingan Kelayakan Asia Tenggara BMW Motorrad GS Trophy 2017 telah pun berlangsung pada 12 Ogos 2017.
- Sepuluh orang finalis telah ditentukan untuk pusingan kedua pada hari Ahad.
- Finalis berkedudukan tertinggi dari Malaysia akan mewakili Negara dalam Pasukan Asia Tenggara.
Para pemilik siri GS BMW pastinya menanti-nantikan sebuah acara yang sangat menakjubkan untuk setiap dua tahun semasa BMW Motorrad menganjurkan BMW Motorrad GS Trophy antarabangsa, salah sebuah acara enduro bertaraf dunia yang paling berprestij, dan paling mencabar sekali dalam dunia.
Pusingan akhir sebelum ini telah diadakan di bandar bersejarah Chiang Mai, Thailand pada tahun 2016. GS Trophy ini akan menuju ke Mongolia bagi edisi berikutnya pada tahun 2018.
Walaupun kesemua penunggang motosikal GS dijemput untuk menyertainya, pusingan kelayakan telah diadakan di seluruh dunia bagi menentukan wakil bagi setiap negara dalam pusingan akhirnya nanti. Malaysia akan menghantar seorang wakil sebagai sebahagian daripada pasukan Asia Tenggara, yang terdiri daripada seorang penunggang dari Singapura dan juga Thailand. (Ketahui dengan lebih lanjut mengenainya melalui paparan kami sebelum ini).
Pusingan kelayakan Malaysia dan Singapura ternyata istimewa pada tahun ini, kerana ianya merupakan kali pertama ianya diadakan di bumi Malaysia. Cabarannya juga ternyata lebih sukar dan berbagai pada kali ini kerana ianya diadakan di Litar Motocross Sepang yang luas terbuka, berbanding dengan ruangan yang terhad di BMW Motorrad Enduro Park di Bangkok, Thailand.
Walaupun GS Trophy merupakan satu bentuk sukan permotoran, ianya bukan satu sukan permotoran yang tradisional – menunggang dengan laju di atas litar bukanlah objektif utama GS Trophy ini.
GS Trophy lebih tertumpu kepada kawalan motosikal, kemahiran, kerjasama sepasukan, dan juga pengetahuan serta IQ penunggang. Tambahan pula, ianya mengenai pembinaan semangat setiakawan di kalangan pemilik GS. Namun, yang terpenting sekali adalah ianya mengenai penemuan diri sendiri tatkala para peserta mencabar tahap kebolehan serta kecekalan diri masing-masing. Acara GS Trophy ini pun merupakan ilham seorang eksekutif BMW Motorrad berdasarkan pengalaman penuh getirnya menunggang menyusuri negara Asia Tengah.
Secara keseluruhannya ianya menguji kebolehan seorang penunggang GS menggabungkan kemahiran dan nalurinya dengan sifat-sifat tertentu dan unik motosikal GS-nya bagi mengatasi halangan, cabaran, kemalangan, serta kerosakan dalam persekitaran yang mencabar.
Satu contoh yang hebat menyelamatkan sebuah R 1200 GS yang terkandas adalah dalam “Team Challenge”. Sepasukan berempat bermula dengan berlari ke arah terowong saliran, menuju ke atas bukit bagi mendapatkan motosikal R 1200 GS yang diletakkan di situ, sebelum menolaknya turun ke arah gaung yang berlumpur. Mereka perlu berkerjasama bagi menggerakkan motosikal itu dari lumpur yang likat, dan akhirnya menariknya menaiki lereng yang curam bagi melengkapkan cabaran berkenaan. Masa yang terpantas dikira sebagai pemenang.
Para penunggang juga diajar untuk mempercayai naluri mereka sendiri dalam satu cabaran yang kami gelarkan sebagai “ Star Wars Test” (atau pun secara rasminya dipanggil ujian “Blindfold Riding”). Penutup mata disarungkan meliputi mata penunggang, yang dipakai dengan helmetnya. Kemudian, beg helmet dikarung meliputi helmet berkenaan. Penunggang menunggang secara buta, meletakkan kepercayaan pada nalurinya semata-mata bagi memastikan motosikalnya bergerak dalam kawasan litar yang lurus. Your eyes deceive you, trust in your feelings, use The Force. Bait-bait kata dari filem Star Wars yang kami anggap bertepatan dengan cabaran ini.
Jika itu tidak cukup menyukarkan, terdapat cabaran laluan bengkang-bengkok, titian yang sempit, laluan menuruni bukit bersimpang siur serta ujian navigasi, selain daripada ujian kemahiran serta kekuatan, seperti mengangkut tayar serta membaiki kebocoran tayar.
Malah terdapat juga “ujian pengetahuan” yang terdiri daripada soalan-soalan trivia, sejarah, dan spesifikasi teknikal motosikal BMW sejurus selepas makan tengah hari, sewaktu peserta masih lagi kekenyangan. Para peserta juga perlu menyerahkan telefon mereka sebelum bermulanya ujian, jadi Google tidak dapat membantu mereka.
Keseluruhannya, terdapat 11 ujian dengan darjah kesukaran yang berbeza:
- Pengetahuan produk.
- Navigasi.
- Enduro Loops.
- Cabaran Kemahiran mini.
- Penunggangan dengan mata tertutup.
- Penghalaan.
- Membaiki Tiub.
- Cabaran berpasukan.
- Kecergasan.
- Ujian kawalan klac.
- Ujian “Coffee Grinder”.
Hari bertambah terik dan lengas pada sebelah petangnya. Ketika kami dari kalangan wartawan dan jurugambar terasa akan bahangnya, timbul rasa hormat pada mereka yang sedang bertanding, lengkap dengan kelengkapan menunggang, di bawah sinar terik matahari.
Pada penghujung hari pertama itu, 10 penunggang yang layak untuk ke pusingan berikutnya pada hari Ahad adalah:
- #139 Wan Harith Wan Taqiyuddin Bin Wan Deraman – 1486 pts.
- #135 Oh Jing Sheng – 1464 pts.
- #115 Ghazi Fawwaz Bin Md. Arif – 1424 pts.
- #137 Terry Teh Siew Kok – 1418 pts.
- #118 Hamzah Bin Mazlan – 1413 pts.
- #111 D. Suhaimi Bin Said – 1413 pts.
- #140 Zulkifli Bin Zaizal Abidin – 1408 pts.
- #105 Chan Kiang Wei – 1395 pts.
- #128 Mohd. Apis Bin Sagimin – 1391 pts.
- #102 Affendy Bin Syed Omar – 1368 pts.
Sepuluh orang finalis dari Hari Pertama ini telah meneruskan cabaran mereka pada pusingan berikutnya pada hari Ahad dimana hanya yang berada di kedudukan teratas akan mewakili Malaysia dalam pasukan Asia Tenggara. Tiga penunggang teratas dari Singapura akan menuju ke pusingan kelayakan terakhir di Khao Yai, Thailand dari 1 hingga 3 September, bagi memilih wakil tunggal mereka.
Satu-satunya peserta wanita, Khaizatu Akmar, dari Malaysia akan bersaing dengan penunggang wanita Thailand bagi peluang untuk mewakili pasukan wanita Asia Tenggara.
TEKAN SINI bagi mengikuti berita terkini dari laman Facebook BMW Motorrad Malaysia.
Galleri Gambar