Kawasaki Ninja 650, Z650 Popular Di Amerika Syarikat Dan Eropah

 

  • Mudah digunakan bagi kebanyakan penunggang, kebolehan untuk memenuhi pelbagai peranan, bergaya, dan menyeronokan antara penyebab utama ianya menjadi pilihan.
  • Kemaskini terbaru menjadikan Kawasaki Ninja 650 dan Z650 lebih lincah serta lancar untuk ditunggang.
  • Kedua-dua motosikal ini adalah motosikal yang dibina serba baru.

 

Sejak bertahun lamanya, dari 2009 hinggalah 2015, tiga model motosikal berkapasiti besar pertengahan telah menguasai jalan raya Malaysia. Model-model ini terdiri daripada Kawasaki ER-6f, ER-6n, dan juga Versys 650 (Untuk artikel ini, kami menumpukan perhatian pada ER-6f dan juga ER-6n).

Terdapat banyak faktor yang telah menyumbang kepada kepopularan model-model berkenaan. Motosikal ER-6f tampak ‘sporty‘, manakala motosikal ‘naked‘ ER-6n kelihatan garang. Namun oleh kerana model-model ini telah dibina dengan platform enjin,kerangka, dan casis yang sama, mereka berkongsi perwatakan yang serupa: enjin yang penuh tork serta mencengkam, suspensi talaan jalan raya, mudah untuk dikendalikan, daya henti yang hebat, serta posisi duduk menegak. Kedua-dua model ER-6f dan ER-6n cukup medah dalam menangani trafik sesak kotaraya serta untuk perjalanan yang jauh. Mereka menjadi motosikal-motosikal yang dapat melakukan apa sahaja yang diperlukan oleh penunggang. Memandangkan motosikal-motosikal juga merupakan antara motosikal berkapasiti besar yang dipasang dalam negara, harganya yang berpatutan telah menambahkan lagi daya penariknya itu.

Kedua-dua motosikal ini sesuai bagi penunggang yang baru berjinak-jinak dengan motosikal berkapasiti besar, mereka yang menggunakannya untuk berulang-alik, penunggang hujung minggu, yang kembali semula dalam dunia permotosikalan, penunggang berpengalaman, malah ada di antaranya telah menggunakannya untuk menunggang di atas litar. Ianya merupakan model terpopular di kalangan ‘club racer‘ di Amerika Syarikat.

Begitu popular motosikal dalam siri ER ini, Sekolah memandu dalam negara telah menggunakannya sebagai motosikal latihan dan ujian lesen B penuh.

Ia menghasilkan nota bunyi ekzos yang tersendiri, hasil dari engkol 180-darjahnya yang unik. Enjinnya adalah enjin berkembar selari, 649cc, suntikan bahanapi, lapan injap, DOHC, sejukan cecaia yang begitu ringkas. Ia menghasilkan 71hp dan antara 66Nm (dari 2006 hingga 2011) dan 64Nm (2012 hingga 2016) tork.

Berkenaan ‘”isu reliabiliti” motosikal ini. Motosikal ER-6f 2011 penulis telah pun hampir mencecah 100,000km tanpa sebarang masalah atau kerosakan pada enjin, injap atau memerlukan gantian. Penulis menunggang motosikal ini saban hari. Malah, enjin ER-6 telah mendominasi perlumbaan ‘flat track‘ di Amerika Syarikat dengan jayanya sekali. TEKAN SINI untuk mengetahui mengenai dengan lebih lanjut.

EVOLUSI

Varian ER-6 (digelar Ninja 650r di sesetengah negara) mula membuat kemunculannya pada 2006. Generasi kedua ER-6 ini pula muncul dari 2009 hingga 2011, sebelum digantikan oleh generaasi ketiganya dari 2012 hingga 2016.

Terdapat beberapa perubahan yang besar pada bahagian luaran dan dalaman mekanikal motosikal ini di antara 2006 hingga 2011. ER-6 2012 pula menandakan beberapa perubahan termasuklah penggayaan, pelana bertingkat, kapasiti tangki bahanapi yang lebih besar, kerangka baru, dan suspensi dengan ruang gerakan yang ditambah. ER-6f kini kelihatan lebih mengancam dan lebih ‘sporty’, manakala ER-6n tampak tegar.

Enjinnya hampir tidak disentuh langsung kecuali untuk pengurangan kecil dalam nisbah pemampatan. Wasap yang telah digunakan disalurkan melalui sistem ekzos yang dikaji semula. Pemetaan pengurusan enjin telah ditala bagi menyebarkan torknya ke rangkaian lebih rendah enjin berkenaan, yang merendahkan sedikit kuasa puncaknya. Kawasaki juga memperkenalkan penunjuk ECO pada panel LCD.

Sebagai pemilik model 2011, penulis merasakan yang versi 2012 melambangkan kemuncak evolusi model ER-6, apabila saya menguji kedua-dua versi ber-reraup dan juga naked. Kuasanya diagihkan dengan lebih lancar, pelananya lebih selesa dan yang paling utama, pengendaliannya lebih baik dan stabil berbanding motosikal penulis. Ianya dapat dihidupkan dengan mudah setiap kali dan tidak pernah mempunyai masalah.

Kemudian, Kawasaki menyingkap tirai di sebalik model 2017.

Kawasaki telah meluputkan nama ER-6. Versi ber-reraup penuh itu kini digelar Ninja 650, menyelaraskannya gelarannya secara universal. Versi nakednya pula dipanggil Z650, dan dimasukkan di bawah keluarga motosikal naked Kawasaki. Kedua-dua Ninja 650 dan Z650 berkongsi komponen enjin dan casis yang sama.

Kami beranggapan hanya perubahan kosmetik sahaja yang akan dilakukan, namun sebaliknya yang berlaku apabila Kawasaki mengemaskini sepenuhnya motosikal yang sedia hebat ini.

PENGGAYAAN

Kawasaki Ninja 650 kini kelihatan seakan sama seperti motosikal superbike utama syarikat berkenaan, ZX-10R, terutamanya apabila dilengkapi dengan skema warna edisi khas KRT. Lampu hadapannya tampak “ala-raptor” dan reraupnya memeluk kemas badan motosikal itu.

Ninja 650 mungkin tampak ‘sporty‘, namun, Kawasaki dengan bijaknya merekabentuk ergonomik motosikal ini bagi memenuhi keperluan sebahagian besar penunggang di luar sana. Palang pemegangnya di angkat tinggi dan ke hadapan, pelana penunggangnya rendah (ketinggian pelana pada 790mm), dan tuilnya boleh dilaras 5-cara.

Panel instrumen pelbagai fungsi yang baru dilengkapkan yang mana ia terdiri daripada penunjuk posisi gear yang amat dinantikan, ‘shift light‘, dan penunjuk ECO. Jarum takometer bertukar warna dari putih ke merah jambu ke merah tatkala ianya bergerak.

Kawasaki Z650 pula telah dilengkapkan dengan rekaan Sugomi untuk rupanya yang organik. Kawasaki menerangkan bahawa mereka melihat kekuda Z650 ini bagaikan seekor harimau kumbang yang menghendap mangsanya, rapat ke bumi, dengan kepala menunduk dan ekornya menegak.

Motosikal lumba naked pastinya perlu kelihatan garang dan itu adalah satu inspirasi yang hebat.

Tidak seperti Ninja 650, panel instrumennya mempunyai rekaan yang berlainan bagi membolehkannya dimuatkan di belakang “flyscreen“-nya. Takometer tersusun di atas pemapar LCD, dengan penunjuk posisi gear di tengah. Jarum takometer berkelip di had kitaran yang ditetapkan oleh penunggang.

Kawasaki Z650 ini berkongsi struktur binaan yang sama seperti Ninja 650, dengan itu ianya mempunyai ketinggian pelana yang sama iaitu 790mm.

ENJIN

Kawasaki telah mereka semula enjin berkembar selarinya yang cukup dikenali itu bagi bercirikan profil cam baru bagi mengurangkan tempoh tindihan injap (memberikan tork pada rangkauan rendah dan pertengahan yang lebih baik); badan pendikit yang lebih kecil, 36mm untuk tindakbalas pendikit yang lebih lancar dan tepat; dan sistem ekzos yang baru. Perubahan ini secara bersama menghasilkan lengkungan tork yang lebih luas bagi memberikan penunggang lebih kuasa di mana sahaja (pada jangkauan kitaran) pada setiap masa ia diperlukan.

 

Mana-mana pemilik ER-6, termasuk penulis, pasti akan memberitahu anda yang pembrekan enjinnya kadang kala menghalang peralihan selekoh yang lebih lancar ( ketika anda terasa bagaikan ditarik oleh pembrekan enjin yang kuat, yang menyebabkan motosikal kehilangan kelajuan, diikuti oleh ketidakstabilan dan kesukaran untuk menukar arah, menyebabkan penunggang hilang keyakinan), selain daripada mengalami lompatan roda belakang (malahan, gelinciran) jika menukar ke gear lebih rendah secara agresif.

Kawasaki mengatasinya dengan melengkapkannya dengan klac ‘assist and slipper‘. Fungsi ‘slipper‘ berkenaan merupakan satu penambahan yang baik, membolehkan kemasukan selekoh yang lebih lancar dan menghapuskan lompatan roda. Fungsi ‘assist‘ pula memudahkan penukaran ke gear lebih tinggi, dengan menggunakan cam yang berfungsi sebagai mekanisma servo yang menarik hab klac dan pada masa yang sama, mengendali plet bersama, bagi memampatkan plet klac.

KERANGKA DAN CASIS

Kawasaki juga telah melengkapkan 650 yang baru ini dengan kerangka keluli trellis yang baru, yang 15kg lebih ringan dari pendahulunya – menyumbang kepada berat seringan 193kg dan 187kg berat keseluruhan bagi Ninja 650 dan Z650. Seksyennya dibuat selurus yang mungkin bagi menala kerangka berkenaan untuk agihan hentakan dan muatan. Sudut sadaknya pada 24-darjah.

ER-6 (dan juga Versys) yang lama telah memaut penyerap hentakan belakang pada bahagian kanan motosikal, menghubungkan kerangka dan lenganbuai terus tanpa sebarang pautan. Melaraskan pramuatan hentakan ternyata amat mudah, namun terdapat sesetengah penunggang yang merungut akan ketidakseimbangan menyelekoh (ianya perkara yang subjektif, memandangkan kebanyakan motosikal menggunakan aturcara sebegini).

Ninja 650 dan Z650 telah memaut penyerap hentakan baru mereka dalam format pautan-belakang mendatar untuk aksi yang lebih progresif. Tetapi, daripada merumahkan bahagian penyerap dan pautan di bawah lenganbuai, mereka telah meletakkannya pada bahagian atas. Ini juga memastikan komponen-komponen berkenaan dijauhkan dari bahang enjin. Lenganbuainya kini adalah unit yang melengkung.

BREK

Daya hentinya dikendalikan sepasang angkup dwi-omboh Nissin yang mencengkam cakera kelopak 300mm di hadapan, sementara bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan angkup satu omboh yang mencengkam cakera kelopak 220mm. ABS didatangkan sebagai kelengkapan standard di kedua-dua bahagian.

Jika sebuah motosikal dinilai daripada bahagiannya, maka ianya cukup mudah mengetahui mengapa Ninja 650 dan Z650 ini berjaya menambat hati penunggang di Amerika Syarikat dan Eropah. Jawapannya: mesra pengguna, praktikal, ekonomikal, bergaya dan pada masa yang sama mampu memberikan tunggangan yang mengujakan bagi penunggang baru mahupun yang berpengalaman.

Jangan lupa pula harganya. Nilai yang sukar ditandingi.

Artikel oleh Wahid Ooi Abdullah

SPESIFIKASI TEKNIKAL

Engine type Liquid-cooled, 4-stroke, DOHC, 8-valves, parallel-Twin
Compression ratio 10.8 : 1
Bore X Stroke 83.0 mm X 60.0 mm
Displacement 649 cc
Fuel system Fuel injection, 38 mm throttle body with dual throttle valves
Maximum power 67.3 bhp (50.2 kW) @ 8000 RPM
Maximum torque 65.7 Nm @ 6500 RPM
CHASSIS
Front suspension 41 mm telescopic forks
Rear suspension Horizontal Back-link, adjustable for preload
Front brakes Dual semi-floating 300 mm petal discs, two-piston calipers
Rear brake Single 220 mm petal disc, single-piston caliper
FRAME & DIMENSIONS
Frame Trellis, high-tensile steel
Trail 100 mm
Front wheel travel 125 mm
Rear wheel travel 130 mm
Wheelbase 1410 mm
Ground clearance 130mm
Seat height 790 mm
L x W x H 2115 mm x 740 mm x 1135 mm (Ninja 650)2115 mm x 775 mm x 1080 mm (Ninja 650)
Curb weight 193 kg (Ninja 650) / 187 kg (Z650)
Front tyre 120/70-ZR17 (58W)
Rear tyre 160/60-ZR17 (69W)

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]