Siapakah Tiga Penunggang Negara Yang Akan Bertanding Dalam Perlumbaan Ketahanan Suzuka 8 Hours 2017?

 

 

  • Perlumbaan ketahanan Suzuka 8 Hours untuk kali ke-40 akan sekali lagi menyaksikan para penunggang dan juga pasukan dari seluruh dunia bersaing di salah satu perlumbaan ketahanan terulung di dunia sepanjang masa bermula dari 27 hingga 30 Julai 2017.
  • Perlumbaan untuk tahun ini menandakan ulang tahun ke-40nya dan akan ada tiga penunggang negara yang akan turut serta bertanding; penunggang Moto2 Hafizh Syahrin, penunggang ARRC semasa Azlan Shah, dan juga juara ARRC 2016 Zaqhwan Zaidi.
  • Hafizh Syahrin akan berlumba bersama Team Kagayama di atas jentera Suzuki GSX-R1000, Zaqhwan Zaidi dengan Team Satu HATI di atas jentera Honda CBR1000RR yang terkini, dan Azlan Shah akan berlumba bagi Team Green dan jentera tersohornya Kawasaki ZX-10R.


Detik tibanya perlumbaan ketahanan kali ke-40 Suzuka 8 Hours semakin hampir hari demi hari. Salah satu perlumbaan ketahanan motosikal yang paling ikonik ditaja oleh Coca Cola ini akan berlangsung dari 27 Julai 2017 hingga 30 Julai 2017.

Para pasukan telah pun berada di Suzuka untuk menjalankan beberapa ujian terutamanya empat pengeluar utama Jepun iaitu Suzuki, Yamaha, Honda, dan Kawasaki. Para pasukan ini juga sedang menguji tayar yang akan digunakan untuk acara ini sebelum perlumbaan sebenar yang akan diadakan pada hujung bulan ini.

https://www.instagram.com/p/BWW7aL-l5bp/

Hafizh Syahrin

Tarikan utama bagi kita rakyat Malaysia sudah semestinya pada tiga penunggang negara yang akan berlumba dalam siri perlumbaan legenda ini di mana untuk tahun ini ia menandakan ulang tahun ke-40 perlumbaan ini. Penunggang Moto2 negara Hafizh Syahrin yang kini sedang menunggang dalam siri perlumbaan pertengahan MotoGP akan berlumba bagi Team Kagayama bersama dua lagi penunggang; pemilik pasukan Yukio Kagayama dan Naomichi Uramoto.

https://www.instagram.com/p/BWZClmzBfrU/

Mereka akan mengemudi jentera terkini Suzuki GSX-R1000 yang sudah pasti menjadi satu lagi pencapaian hebat buat penunggang negara berusia 22 tahun itu. Team Kagayama telah pun mengecapi beberapa kejayaan dalam beberapa tahun ini dengan penamat di atas podium pada tahun 2015 di mana mereka menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dan keenam untuk tahun yang lalu.

Team Kagayama (Sumber imej: www.corsedimoto.com)
Zaqhwan Zaidi

Seorang lagi penunggang hebat negara yang akan bertanding dalam perlumbaan ketahanan tahun ini adalah tidak lain dan tidak bukan juara Asia Road Racing Championship 2016, Zaqhwan Zaidi. Penunggang berusia 22 tahun ini telah dipilih oleh pasukan perlumbaan Satu HATI bersama dengan penunggang FIM CEV Moto2 dari Indonesia Dimas Ekky Pratama dan penunggang ARRC dari Thailand Ratthapong Wilairot.

https://www.instagram.com/p/BWJWe_3lZGE/

Pasukan ini akan bersaing dengan jentera terkini Honda CBR1000RR dengan bantuan dari Honda Racing Corporation (HRC) oleh kerana keputusan dan pencapaian yang membanggakan pasukan Satu HATI dalam siri perlumbaan ketahanan. Pada 2016, pasukan ini berjaya merangkul tempat kelapan.

Honda Team Asia (Sumber imej: www.world.honda.com)
Azlan Shah Kamaruzaman

Akhir sekali adalah penunggang veteran (yang masih lagi teramat muda) iaitu Azlan Shah Kamaruzaman. Penunggang berusia 32 tahun berasal dari Klang, Malaysia ini telah diberi penghormatan bukan sahaja untuk bersaing dalam antara perlumbaan ketahanan motosikal yang paling dikenali seluruh dunia, tetapi dia juga akan berganding bahu dengan penunggang Kejohanan Superbike kelahiran British Leon Haslam dan juga penunggang Jepun Kazuma Watanabe.

Team Green 2017 (Sumber imej: www.instagram.com/azlanshah25)

Ketiga-tiga penunggang yang hebat ini akan mewakili Team Green yang telah menamatkan perlumbaan tahun lalu di tempat kedua di belakang pasukan Yamaha Factory Racing Team yang terdiri daripada Katsayuki Nakasuga, Pol Espargaro, dan Bradley Smith. Dengan rekod yang sebegitu, pasukan ini semestinya akan memburu kemenangan untuk perlumbaan tahun ini.

Leon Haslam, Team Green (Sumber imej: www.roadracingworld.com)

Ianya satu penghormatan yang besar bagi ketiga-tiga penunggang muda negara kita untuk dipilih bersaing dalam Suzuka 8 Hours FIM World Endurance Championship namun mereka perlu memberikan sehabis-habis usaha untuk bertanding menentang pasukan teratas seperti Yamaha Factory Racing Team, Yoshimura Suzuki Shell Advance, YART Yamaha Official EWC Team, dan banyak lagi. Kami yakin walau apa pun yang berlaku, ketiga-tiga anak watan kita ini pasti telah membuatkan kita semua berasa bangga. Selamat maju jaya diucapkan.

 

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]