Format Grid Terbalik WorldSBK TIDAK BERKESAN

 

  • Sesetengah pihak telah mengatakan bahawa format grid terbalik yang terkini dalam WorldSBK tidak membuahkan hasil seperti apa yang telah diharapkan.
  • Rancangannya adalah untuk meletakkan para penamat di atas podium bagi Perlumbaan 1 dalam kedudukan terbalik dari baris yang ketiga dengan harapan yang ianya akan memberikan peluang kepada pasukan dan penunggang namun ianya tidak berjaya.
  • Hampir 94% daripada kedudukan podium setakat ini telah diisi oleh Jonathan Rea dan Tom Sykes dari Kawasaki Racing Team dan juga Chaz Davies dan Marco Melandri dari Aruba.it Racing – Ducati.


Menurut laporan yang telah dibuat baru-baru ini oleh MCN, orang-orang berpengaruh di WorldSBK sedang mengkaji dengan serius sama ada untuk
melupuskan sistem grid terbalik yang telah diperkenalkan dalam siri perlumbaan itu pada awal tahun ini. Ianya kerana sistem ini kelihatan tidak membuahkan hasil yang mereka inginkan.

Sumber imej: Asphalt & Rubber

Bagi anda yang kurang arif dengan format grid terbalik ini, tiga pelumba teratas yang menduduki podium pada Perlumbaan 1 pada hari Sabtu akan memulakan Perlumbaan 2 pada Ahadnya dari barisan yang ketiga dalam kedudukan terbalik sementara mereka yang menamatkan Perlumbaan 1 dari posisi keempat hingga kesembilan akan mengisi dua barisan hadapan untuk Perlumbaan 2.

Kita ambil sebagai contoh pusingan yang baru berlalu di Laguna Seca. Perlumbaan 1 telah dimenangi oleh Chaz Davies (Aruba.it Racing – Ducati) diikuti oleh Jonathan Rea dan Tom Sykes (Kawasaki Racing Team) masing-masing di tempat kedua dan ketiga. Dalam Perlumbaan 2, Davies diletakkan di petak kesembilan, Rea di P8, dan Sykes di P7.

Tujuan format ini adalah untuk menghangatkan lagi perlumbaan dan mencipta drama, namun mereka di WorldSBK tidak menyangka yang ketiga-tiga penunggang hebat ini akan mendominasai sepenuhnya podium dari Pusingan 1 kecuali beberapa penunggang lain seperti Marco Melandri (Aruba.it Racing – Ducati), Alex Lowes (PATA Yamaha Official WorldSBK Team) dan Leon Haslam (Kawasaki Puccetti Racing).

Apa yang kelihatan seperti rancangan yang tiada celanya untuk memberikan para penunggang peluang untuk berada di atas podium telah meleset sekali apabila jentera dan penunggang pengilang Kawasaki dan Ducati berada jauh di hadapan berbanding dengan keseluruhan kelompok penunggang.

Walaupun para penunggang teratas bermula dari barisan yang ketiga, mereka tidak mengambil masa yang lama untuk bergerak ke hadapan kelompok dalam beberapa pusingan pembukaan, meninggalkan penunggang yang lain jauh di belakang. Ianya telah terbukti apabila daripada 48 kedudukan podium dalam lapan pusingan WorldSBK yang lalu, 45 tempat telah diisi oleh penunggang Kawasaki Racing Team dan Aruba.it Racing – Ducati, yang menjadikannya hampir 94% jumlah kemenangan keseluruhan untuk musim ini buat setakat ini.

Menurut Pengarah Eksekutif WorldSBK, Daniel Carrera, “Saya rasa kami mengharapkan sesuatu yang berbeza dari sistem grid ini. Saya rasa kami telah melihat impaknya di Aragon, Imola, dan Misano, namun untuk perlumbaan-perlumbaan yang lain dalam beberapa pusingan yang awal para penunggang teratas berada di hadapan. Saya fikirkan ianya kerana jurang antara penunggang teratas dan yang lain-lain, jika jurangnya tidaklah sebesar ini, sistem ini akan memberikan kita senario yang berbeza.”

“Matlamat sistem ini adalah untuk menawarkan sesuatu yang berbeza pada pembukaan perlumbaan dan juga memberikan peluang kepada penunggang yang pada kebiasaannya tidak berada di hadapan untuk mendapat pendedahan yang lebih baik. Kami akan menganalisa kesan penuh sistem ini pada penghujung musim nanti dan kami akan lihat jika kami ingin teruskan atau sebaliknya.”

Walau apa pun rancangan mereka nanti, mereka perlu hasilkannya dengan pantas dan adil serta menghiburkan buat para peminat. Tidak dilupakan juga demi para pasukan dan penunggang serta masa depan siri pelumbaan ini sendiri.

Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk segenap berita dunia permotoran.

Sumber imej: WorldSBK

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply