- BMW Motorrad kini telah memperkenalkan BMW Motorrad Spezial; satu rangkaian kelengkapan khusus istimewa bagi model-model Touring dan Heritage keluaran mereka.
- Kelengkapan yang dikhususkan itu memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk pengkhususan motosikal dan juga bagi para pelanggan yang ingin menghiasi motosikal kesayangan mereka dengan sentuhan tersendiri.
- Rangkaian Spezial ini dikatakan akan boleh didapati di seluruh dunia bermula pada bulan Ogos 2017.
Dengan lebih banyak permintaan untuk pengkhususan motosikal bagi menambah sentuhan tersendiri pada motosikal masing-masing, BMW Motorrad telah memutuskan untuk meluaskan lagi rangkaian pengkhususan mereka dengan pengenalan BMW Motorrad Spezial; satu rangkaian pengkhususan yang menawarkan pilihan pengkhususan dengan rekaan yang tersendiri, dengan peningkatan prestasi serta eksklusif.
BMW Motorrad Spezial menawarkan kelengkapan khusus bagi beberapa model utama mereka yang telah diperbuat daripada bahan-bahan bergred tinggi, rupa luaran yang asli, pertukangan yang mahir dan kekemasan perincian yang menegaskan perwatakan BMW Motorrad Spezial. Bagi tahap permulaan, rangkaian Spezial ini meliputi motosikal-motosikal BMW dalam rangkaian Touring dan Heritage dengan pelan masa depan untuk memperluaskan lagi tawaran pilihan pengkhususannya ke model-model yang lain juga.
Rangkaian ini akan boleh didapati bermula daripada bulan Ogos 2017 dimana ia merangkumi bukan sahaja kelengkapan pilihan eksklusif, malah ia juga terdapat produk-produk yang ada dalam rangkaian Aksesori Tulen BMW Motorrad, yang telah dibina dengan kualiti, penggayaan dan dedikasi yang sama seperti rangkaian Spezial ini.
Para pelanggan mempunyai dua pilihan yang berbeza untuk dipilih bagi pengkhususan motosikal BMW kesayangan mereka. Pilihan yang pertama menawarkan kepada pelanggan untuk memasang terus kelengkapan pengkhususan dengan kesemua peningkatan visual dengan menempahnya siap dipasang dengan kelengkapan Spezial.
Bagi pilihan kedua pula, pelanggan akan dapat memilih aksesori istimewa dari “Spezial World” pada masa yang akan datang di mana kesemua kelengkapan rangkaian tinggi akan ditawarkan untuk mereka yang berminat. Ini bermakna para pelanggan akan masih dapat membuat pengkhususan pada motosikal mereka melalui para pengedar dalam cara tradisional.
Berita baik mengenai kedua-dua pilihan ini adalah kesemua kelengkapan ini disertakan dengan waranti dan bagi mereka yang sedang mencari motosikal baru dari BMW Motorrad untuk dimiliki, ianya juga boleh dimasukkan dalam pelan pembiayaan yang mana dapat membantu para pelanggan untuk berjimat dari segi wang dan juga masa.
Tidak pasti bagaimana rupa motosikal anda secara keseluruhannya dengan kelengkapan khusus? Anda tidak perlu risau kerana BMW Motorrad juga akan memperkenalkan generasi terbaru bagi BMW Motorrad Configurator yang akan membantu dalam bentuk persembahan digital sebahagian besar aksesori istimewa terutamanya bagi model-model R nineT.
Rangkaian khusus ini dikatakan akan boleh didapati bermula dari Ogos 2017 tetapi kita masih lagi menunggu pengesahan dari BMW Motorrad Malaysia untuk tarikh sebenarnya di negara kita ini. Teruskan setia bersama MotoMalaya untuk perkembangan terkini dunia permotoran.
Sumber: BMW Motorrad