ARRC 2017: Yuzy Latih Pelumba Honda Vietnam

Bui Duy Thong beraksi dalam kelas Asia Production 250cc

Bekas pelumba negara, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini sekali lagi menjalinkan kerjasama di dalam program pembangunan pelumba Vietnam buat tahun ketiga berturut-turut apabila sekali lagi menggandingkan barisan pelumba Malaysia dan Vietnam menjelang perlumbaan pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) 2017 yang akan membuka tirai di Litar Johor, Pasir Gudang, minggu ini.

Shahrol Yuzy yang juga pemilik Yuzy Racing mempunyai rekod telah melatih ramai pelumba negara yang kini beraksi di peringkat antarabangsa seperti Zulfahmi Khairuddin, juara Asia dua kali – Mohd Zaqhwan Zaidi dan termasuk pelumba muda meningkat naik, Azroy Hakeem Anuar.  

Shahrol Yuzy (tengah) memberi bimbingan kepada pelumba vietnam

Saingan ARRC musim 2017 menyaksikan Yuzy akan mengendalikan pasukan yang dikenali Yuzy Honda Vietnam Racing dengan menyertai kategori Underbone 150cc selain turut beraksi dalam kategori Asia Production 250cc.

“Kami telah bekerjasama dengan Honda Vietnam sejak dua musim lepas dan pada tahun ini, kerjasama diantara kami terus dipertingkatkan,” jelas Yuzy.

Pasukan Yuzy Honda Vietnam akan bersaing dalam kategori Underbone 150cc dan Asia Production 250cc

Pasukan Yuzy Honda Vietnam Racing membariskan tiga pelumba di dalam kelas Underbone 150cc iaitu dua pelumba Malaysia, Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Amirul Ariff Musa bersama muka baharu dari Vietnam, Cao Viet Nam manakala rakan senegara, Bui Duy Tong akan beraksi dalam kelas Asia Production 250cc.

“Tahun 2017 agak mencabar buat Bui Duy Thong yang melangkah ke kelas 250cc. Saingan kelas ini cukup kompetitif dan sengit. Kami tidak meletak sasaran tinggi sebaliknya berharap dia dapat menamatkan perlumbaan dengan mengutip sebarang mata. Dalam kategori Underbone, kami akan memberi lebih tumpuan kepada Cao memandangkan ini kali pertama dia beraksi menggunakan jentera Underbone. Kami berharap dia mampu mengekori kelompok besar pelumba dan menimba pendedahan ketika berhadapan dengan pelumba lebih berpengalaman.”

Saksikan aksi pelumba-pelumba Malaysia di Pusingan 1 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Johor, Pasir Gudang, hujung minggu ini. Masuk adalah percuma.

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply