- Motosikal pertama yang akan di bina khusus oleh jabatan kreatif CCM, Skunkwerx
- Dilancarkan pada bulan Februari 2017, 150 unit edisi khas ini telah pun HABIS DIJUAL dalam beberapa minggu selepas pelancarannya
- Motosikal yang dilahirkan dari semangat dan kreativiti tanpa sebarang kekangan terhadap pembina dan pereka bentuk
Pengilang Motosikal Britain, CCM, telah menggegarkan dunia apabila mereka memperkenalkan CCM Spitfire khusus ketika Pertunjukan Motosikal Carole Nash MCN London beberapa bulan lalu. Menurut CCM, motosikal ini adalah hasil ciptaan terbaik mereka buat masa kini yang dikepalai oleh divisyen kreatif terkini mereka, Skunkwerx.
Diilhamkan oleh jurutera-jurutera dari divisyen Skunk Works Lockheed Martin yang telah mencipta kapal terbang terbaik yang pernah dibina untuk syarikat itu, para mekanik dan pereka bentuk di CCM juga diberi peluang yang sama; untuk membina sebuah motosikal tanpa kekangan dari segi biayaan mahupun hierarki syarikat.
Dilihat pada hasil ciptaan mereka, tidak dapat dinafikan yang CCM Spitfire 2017 ini mempunyai keindahannya yang tersendiri. Rangka keluli bagi ke semua 150 unit adalah buatan tangan oleh pengimpal veteran terbaik pasukan, Ted Unwin. Nama Spitfire lahir apabila mereka membuat keputusan untuk menggunakan keluli British kekuatan-tinggi T45, keluli yang sama digunakan untuk membina rangka kapal terbang pejuang klasik British. Melihat pada kimpalan yang begitu kemas cukup untuk membuatkan mereka yang menghargai keseniannya teruja. Berat keseluruhan jentera minimalis ini hanyalah 120kg sahaja.
Bagi menjadikan jentera Spitfire ini lebih menyeronokkan, pasukan ini telah melengkapkannya dengan enjin empat-lejang satu silinder 600cc yang datang bersama injap titanium. Ia boleh menjana sehingga 55 kuasa kuda atau 5,500rpm serta tork sehingga 58Nm. Dengan itu, ianya memberikan nisbah kuasa-ke-berat yang bagus iaitu 0.46hp/kg, jumlah yang lebih besar bila dibandingkan dengan motosikal sukan Ducati 959 Panigale.
Untuk suspensi mereka menggunakan fork terbalik WP 48mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan. Bahagian belakangnya pula dilengkapkan dengan Tractive monoshock yang bolehubah sepenuhnya dengan ruang gerakan 150mm membolehkan ia menyerap kecelaan kecil di atas jalan raya. Semua ini disatukan ke tayar flat track 19 inci yang meliliti billet hubs dan jejari kekuatan tinggi.
Dengan kuasa dan beratnya yang agak ringan, menghentikan motosikal ini memerlukan usaha yang besar. Untuk itu, mereka telah melengkapkan ia dengan angkup Brembo untuk 320mm cakera hadapan dan 240mm cakera belakang. Ini bagi memastikan pembrekan yang selamat dan juga stabil tidak mengira sebarang keadaan.
Dengan tanda harga £7,795 (sekitar RM43,980), ke semua 150 unit telah habis dijual selewat minggu lepas. Cukup sekadar menatap rupanya sahaja sudah terliur para peminat motosikal dibuatnya. Tidak sabar rasanya untuk menantikan hasil ciptaan akan datang CCM.
Sumber : www.motorcylenews.com