Modenas baru sahaja melancarkan tiga model skuter terbaru untuk 2016/2017 iaitu Modenas Karisma 125, Modenas Elegan 250 dan juga KYMCO Downtown 250i.
Syarikat dibawah DRB-HICOM ini telah melancarkan Modenas Karisma 125 untuk golongan muda dan Modenas Elegan 250 untuk para eksekutif yang mengikuti citarasa terkini.
Edaran Modenas Sdn Bhd (EMOS) juga mengambil peluang untuk melancarkan skuter KYMCO Downtown 250i. EMOS telah mengambil alih posisi sebagai pengedar eksklusif KYMCO bagi pasaran Malaysia.
Dato’ Sri Syed Faisal Albar, pengarah urusan DRB-HICOM berkata “Sejak pelancaran moped pertama kami pada tahun 1996, Modenas dan EMOS telah mengambil langkah proaktif untuk meneroka peluang untuk meluaskan rangkaian produk kami dan juga menjalin hubungan perniagaan yang strategik. Pelancaran tiga model terbaru kami hari ini adalah untuk memenuhi permintaan pasaran di Malaysia.”
2016 Modenas Karisma 125
Modenas Karisma 125 terbaru ini mempunyai enjin 125cc yang mampu menjana kuasa maksimum 9.4hp @ 7,500rpm. Terdapat beberapa penambahbaikan pada model Karisma terbaru ini termasuk port USB untuk mengecas peralatan elektronik anda.
Dengan rekabentuk yang moden dan juga menarik , Karisma 125 datang dalam dua warna berbeza iaitu merah dan putih mutiara yang amat sesuai untuk golongan muda. Harga yang ditawarkan bagi Modenas Karisma 125 ialah RM5,278.80 (harga asas dengan GST).
2016 Modenas Elegan 250
Skuter kedua yang dilancarkan oleh Modenas ialah Modenas Elegan 250. Elegan 250 ini mempunyai enjin 250cc SOHC bersama sistem suntikan bahan api yang mampu menjana 22.1hp @ 7,000rpm. Elegan 250 ini juga mempunyai sistem penyejukan cecair untuk prestasi yang lebih tinggi.
Sistem suspensi teleskopik hadapan dan jenis lengan buai di belakang dipasang untuk memberi tunggangan yang lebih selesa. Modenas Elegan 250 ini juga mempunyai brek cakera hadapan dan juga belakang untuk keselamatan penunggang.
Dengan rekabentuk yang agak ‘sporty’ dengan tambahan meter LCD, terdapat dua warna pilihan, hitam matt dan putih matt. Harga yang ditawarkan untuk keluaran 250cc terbaru dari Modenas untuk Elegan 250 ialah RM13,599.80 (harga asas dengan GST).
KYMCO Downtown 250i
Turut menyertai pelancaran ini ialah KYMCO Downtown 250i. Ini merupakan motor KYMCO pertama yang dikeluarkan setelah EMOS mengambil alih hak pengedaran eksklusif untuk KYMCO di Malaysia.
Ini merupakan kerjasama terbaru antara DRB-HICOM, KYMCO dan Modenas untuk menjayakan lagi jenama Taiwan di pasaran Malaysia. Kesemua model KYMCO Downtown 250i untuk pasaran Malaysia akan dipasangkan di kilang pemasangan Modenas di Gurun, Kedah di bawah program CKD (Completely Knocked Down).
KYMCO Downtown 250i menggunakan enjin 250cc SOHC satu silinder dengan sistem penyejukan cecair seperti Modenas Elegan 250.
EMOS juga akan merancang pelan untuk memudahkan semua pengguna skuter KYMCO di Malaysia dengan pertolongan rangkaian 200 peniaga Modenas dan juga pusat servis di seluruh Negara untuk kemudahan semua pengguna motorsikal keluaran KYMCO.
KYMCO Downtown 250i keluaran terbaru di bawah keluaran EMOS akan dijual dengan harga RM22,790 (harga asas dengan GST).