Andrea Dovizioso dari Ducati Team berjaya memenangi perlumbaan MotoGP Malaysia di Sepang International Circuit (SIC) yang ditaja oleh Shell.
Dengan sesi kelayakan pada petak pertama, permulaan perlumbaan tersebut sedikit sukar bagi Andrea Dovizioso tetapi beliau bertahan dan berjaya melepasi garisan penamat pada kedudukan pertama. Walaupun dengan keadaan basah dari hujan yang lebat, ‘DesmoDovi’ berjaya mengawal perlumbaan basah di SIC.
Dovizioso juga sering bertukar kedudukan dengan pemenang tempat kedua iaitu Valentino Rossi dari pasukan Movistar Yamaha MotoGP. Dengan jentera Ducati Desmosedici GP16 dikuasakan dengan minyak Shell V-Power dan juga pelincir Shell Advance, gandingan Ducati dan Shell ini berjaya mengawal keadaan perlumbaan yang sukar. Keadaan trek yang sukar dan hujan yang tidak menentu bukan masalah yang besar bagi Andrea Dovizioso sepanjang minggu ini.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh rakan sepasukan Valentino Rossi iaitu Jorge Lorenzo. Lorenzo mengalami keadaan yang sedikit sukar pada awal perlumbaan tetapi setelah selesa dengan jentera beliau, Lorenzo berjaya mendapat tapak terakhir diatas podium. Kejayaan ini juga telah membuktikan kepada semua yang Jorge Lorenzo juga boleh berlumba dalam keadaan yang basah.
Pada awal perlumbaan, Andrea Iannone dari Ducati amat sengit bertarung dengan Valentino Rossi. Jentera Desmosedici GP16 Iannone dan Yamaha M1 milik Rossi sering bertukar posisi berulang kali sewaktu perlumbaan, memberi perlumbaan yang sangat menarik kepada semua pengunjung.
Terdapat beberapa saingan yang sengit dari pelumba-pelumba yang lain iaitu Marc Marquez dari pasukan Repsol Honda dan juga Andrea Iannone dari pasukan Ducati tetapi malang sekali, kedua-dua pelumba ini jatuh sewaktu perlumbaan berlangsung. Marc Marquez berjaya menyertai semula perlumbaan dan mendapat tempat ke-11 di garis penamat.
Cal Crutchclow dari LCR Honda juga mendapat nasib yang malang dan terjatuh di selekoh kedua, menamatkan perlumbaan beliau. Crutchclow juga memberi persaingan yang sengit kepada kumpulan pelumba-pelumba dihadapan sebelum dia hilang kawalan jentera LCR Honda beliau.
Kemenangan Dovizioso ini merupakan pelumba yang ke-sembilan yang berjaya memenangi perlumbaan MotoGP dalam musim 2016 ini. Posisi ke-4 dan ke-5 jatuh kepada pelumba-pelumba dari pasukan Avintia Racing iaitu Loris Baz dan juga Hector Barbera.
Keputusan perlumbaan kali ini juga membuktikan jentera-jentera Ducati semakin kuat dan merupakan saingan rapat bagi pasukan-pasukan yang lain terutama sekali dalam keadaan hujan dan permukaan trek yang sukar.
Lebih dari 95,000 ribu penonton dan peminat tegar berkumpul di Sepang International Circuit (SIC) hari ini untuk menyaksikan perlumbaan dua roda yang paling hangat di dunia. Jumlah pengunjung yang hadir dari Jumaat hingga Ahad melebihi 160,000 para pengunjung. Ini adalah bukti kukuh bahawa dunia permotoran di Malaysia sangat besar dan penting bagi negara ini.
Perlumbaan yang seterusnya akan berlangsung di Valencia. Perlumbaan ini merupakan perlumbaan yang terakhir bagi musim 2016 sebelum perubahan yang besar dan ketara untuk musim 2017 dari segi pelumba,pasukan dan juga jentera baru.
Galeri gambar-gambar dari perlumbaan MotoGP dibawah.