Mengikut perkembangan SYM Malaysia yang baru sahaja melancarkan kapcai terbaru mereka pada Ogos lepas di Pulau Pinang, kami mengambil kesempatan untuk melakukan satu sesi pandu uji dengan model terbaru tersebut iaitu 2016 SYM Sport Rider 125i “Super Extreme”.
SYM Malaysia telah mengaturkan satu sesi pandu uji untuk pihak kami dan kami berpeluang untuk menguji jentera ini selama beberapa hari. Terdapat berbagai aspek-aspek menarik tentang motor kapcai terbaru dari SYM. Pendek kata, saya sangat berpuas hati dengan 2016 SYM Sport Rider 125i ini. Memang terbaik.
Enjin
Seperti yang telah diumumkan sebelum ini, SYM Sport Rider 125i ini adalah kapcai pertama dari SYM yang dilengkapi dengan sistem suntikan bahanapi atau EFI (Electronic Fuel Injection). Enjin 123cc mampu menjana kuasa maksimum 9.5hp pada 8,000rpm dan tork maksimum 10.8Nm pada 5,500rpm. Enjin yang terdapat pada SYM Sport Rider 125i ini juga mematuhi piawaian pelepasan Euro 3. Pendek kata, ia mesra alam, mesra pengguna dan juga mampu menjimatkan penggunaan petrol. Terbaik.
Reka Bentuk
Seperti kebanyakan kapcai keluaran baru dari pengeluar-pengeluar terkemuka, saya perasan ‘trend’ reka bentuk terkini adalah sangat moden dan agresif. SYM Malaysia juga telah mengambil perhatian dengan citarasa reka bentuk masa kini dan hasilnya tidak menghampakan. SYM Sport Rider 125i mempunyai reka bentuk yang sangat menarik. Pada hari pertama membawa motor kapcai ini sekitar Kuala Lumpur, ramai yang tertarik dengan kecantikan motor ini dan ada juga yang memberi isyarat ‘thumbs up’. “Terbaik, bro.”
Takometer yang sangat jelas telah digandingkan bersama meter digital LCD yang memapar kelajuan, kedudukan gear, isipadu petrol dan juga berbagai ‘mode’ yang boleh diperiksa seperti jarak yang telah ditunggang dan juga kadar volt pada bateri. Lengkap.
SYM Malaysia juga telah meningkatkan ciri-ciri keselamatan kapcai terbaru mereka yang diberi gelaran “Super Extreme”. Lampu LED hadapan untuk kegunaan pada siang hari (Daytime Running Lights) dan juga lampu belakang adalah sangat terang dan senang dikesan oleh penguna jalan raya yang lain.
Tempat duduk berasingan untuk penunggang dan juga pembonceng juga telah direka khas untuk meningkatkan ciri keselamatan dan juga keselesaan ketika menunggang.
Suis kunci juga telah direka bentuk untuk menyenangkan pengguna motorsikal ini untuk mengelak dari kecurian. Dengan hanya menekan satu butang kecil, suis kunci akan tertutup secara automatik dan hanya boleh dibuka dengan bahagian belakang kunci motorsikal tersebut. Cepat, senang dan selamat.
Keputusan selepas Sesi Pandu Uji
Setelah menunggang jentera terbaru dari SYM, saya amat yakin dengan prestasi kapcai Sport Rider 125i ini. SYM Sport Rider 125i sangat senang dan selesa untuk ditunggang. Walaupun mempunyai enjin cc yang kecil, tiada gegaran yang kuat walaupun dibawa sehingga 110km/h. Sedikit gegaran muncul apabila dibawa melebihi 110km/h tetapi agak sedikit.
Gandingan enjin dan pakej suspensi juga mungkin faktor utama mengapa motorsikal ini sangat selesa untuk dibawa. Suspensi teleskopik hadapan dan suspensi jenis gas di bahagian belakang memberi tunggangan yang stabil sepanjang perjalanan. Dengan berat hanya 107kg, tidak susah untuk mengendali kapcai ini melalui jalanraya yang sesak.
Tangki minyak 4.2liter juga dianggap besar dan mampu berjalan pada jarak yang agak jauh sebelum anda perlu singgah dimana-mana stesen petrol yang berdekatan. Bahagian simpanan dibawah tempat duduk juga sedikit besar jika dibandingkan dengan kapcai-kapcai yang lain tetapi tidaklah sehingga mampu menyimpan helmet. Saya boleh menyimpan baju hujan dan juga kit pertolongan cemas dengan senang.
Disebalik semua yang menarik tentang motor ini, saya dapat merasai tayar hadapan kurang stabil tapi ini hanya pada kadar yang kecil. Jika anda ingin mengubah SYM Sport Rider 125i menjadi jentera yang lebih hebat, saya cadangkan untuk tukar tayar kepada saiz yang lebih besar dan lebar.
Transmisi 4 kelajuan yang terdapat pada motor ini mampu menukar ke gear yang lebih tinggi dengan lancar tetapi sedikit keras sewaktu ingin menukar kepada gear yang lebih rendah (downshift).
Harga
Harga yang telah ditetapkan untuk moped 125cc ini adalah RM5,777 (harga asas bersama GST). Terdapat 3 jenis warna yang disediakan iaitu Merah, Biru dan Kuning. SYM juga menawarkan SYM Sport Rider 125i SE dengan warna istimewa Kelabu Matt dengan harga RM5,904.20 (harga asas bersama GST).
Bagi yang berminat untuk membeli kapcai Sport Rider 125i ini, SYM juga menawarkan jaminan lanjutan selama 3 tahun atau 30,000km dan juga 1 tahun atau 10,000km jaminan untuk enjin. SYM Sport Rider 125i dan juga model SE boleh didapati menerusi pengedar-pengedar SYM di seluruh negara mulai September tahun ini.
Secara keseluruhan? Saya sangat berpuas hati dengan SYM Sport Rider 125i keluaran 2016 ini. Walaupun saya sekarang menggunakan Vespa Primavera sebagai jentera harian, saya tiada masalah untuk menukar kepada SYM Sport Rider ini untuk tunggangan harian jika diberi pilihan. SYM Malaysia telah berjaya menghasilkan sebuah kapcai yang seronok untuk dibawa. Memang bagus.