Skuter kecil keluaran Vespa yang telah dilancar oleh Naza Premira Sdn Bhd (Vespa Malaysia) pada Mei lepas iaitu Vespa S125 telah berjaya menangkap jiwa-jiwa peminat skuter klasik dengan rekabentuk yang elegan. Naza Premia Sdn Bhd (Vespa Malaysia) telah memberi peluang kepada pihak kami untuk pandu uji model Vespa ‘sporty’ yang baru ini.
Terdapat banyak ciri-ciri yang menarik yang boleh dilihat pada Vespa ini. Ciri yang paling ketara adalah design klasik atau ‘retro’ yang jelas dilihat pada seluruh skuter ini. Dari lampu petak yang diilhamkan dari Vespa-Vespa klasik dahulu kala, hingga lah ke rekabentuk meter yang memberi imej ‘old school’.
Nota: Artikel ditulis oleh Sep Irran Halid
Warna hitam (Nero Vulcano) bersama stiker edisi terhad sangat segak dan tampan bila dilihat pada pandangan pertama. Vespa S125 ini juga ditawarkan dengan warna-warna lain seperti jingga (Taornima),kelabu (Grigio Titanio), putih (Monte Bianco) dan juga merah (Rosso Dragon).
Rekabentuk meter yang terdapat pada Vespa S125 ini adalah sangat klasik. Paparan yang paling menonjol adalah speedometer dan juga meter sukatan petrol. Antara elemen yang membezakan meter Vespa ini dengan model zaman dahulu hanyalah penambahan lampu amaran petrol.
Walaupun rekabentuknya cukup klasik, segala ciri-ciri dalaman skuter ini adalah sangat moden. Enjin yang dibekalkan khas untuk Vespa S125 ini adalah sebuah enjin 124cc dengan suntikan bahan api elektronik (EFI) yang boleh dihidupkan dengan butang ‘starter’ elektrik. Butang ini berupaya untuk menjana kuasa maksimum 8.5 kW (11.6hp) pada 8250rpm dan juga tork maksimum 10.7Nm pada 6500rpm. Walaupun enjinnya sedikit kecil, kuasa dan tork hampir sama jika dibandingkan dengan Vespa LXV yang mempunyai enjin 150cc.
Pada pandangan saya, pecutan enjin ini bagus sehingga 50km/h. Selepas itu, skuter sedikit berat tetapi pada kelajuan antara 80 – 90km/h, Vespa ini berada dalam ‘sweet spot’ dimana segalanya terasa lancar, tenang dan juga seronok untuk dibawa. Pada pengalaman saya, membawa skuter Vespa S125 ini mengingatkan saya kepada skuter Suzuki V100 dahulu kala. Skuter kecil tapi sangat seronok untuk dibawa merata.
Saya juga amat berpuas hati dengan keselesaan ketika membawa skuter ini di sekitar kawasan Bangi, Putrajaya dan Seri Kembangan. Sistem suspensi yang dipasang pada Vespa S125 ini berjaya memberi tunggangan yang lancar dan hampir sempurna dengan penggunaan ‘dual action monoshock absorber’ dihadapan dan juga belakang skuter ini.
Namun, seperti kebanyakan skuter-skuter kapasiti kecil yang lain, Vespa S125 ini sangat lancar hanya sehingga ia mencecah kelajuan 100km/h. Pada kelajuan 100km/h ke atas, skuter mengalami gegaran yang agak kuat dan tidak selesa. Saiz tayar yang kecil (110/70 – 11” untuk tayar depan dan 120/70-10” untuk tayar belakang) mungkin diantara penyumbang kepada gegaran ini. Seperti yang telah disebut diatas, kelajuan paling optimum untuk Vespa ini antara 80-90km/h.
Ciri-ciri baru yang juga dapat dilihat pada skuter ini adalah pada rekabentuk yang lebih kecil dan padat pada badan skuter, ‘tie’ hadapan dan juga ‘mud guard’ hadapan. Semua ciri-ciri ini sangat bagus jika anda hadapi banyak perjalanan didalam kawasan bandar yang sesak.
Walau bagaimanapun, saya dapati bahawa butang-butang kawalan pada bar pemegang sedikit sukar untuk dicapai. Rekabentuk kepala Vespa ini sedikit petak dan pergerakan ibu jari untuk mendapat akses kepada semua butang-butang kawalan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Kurang ergonomik disitu.
Saya berpendapat bahawa skuter ini amat sesuai untuk dibawa dalam kawasan bandar seperti Kuala Lumpur dimana kesesakan lalulintas dan jalan-jalan yang kecil merupakan perkara biasa yang perlu diredah setiap hari. Lebih-lebih lagi apabila kelengkapan brek cakera hidraulik 200mm hadapan disediakan, pengendalian juga menjadi lebih sempurna.
Tempat duduk mono yang disediakan oleh pihak Piaggio pada mulanya rasa seperti sedikit berat. Saya yang memiliki sebuah Vespa Primavera dapat membuat perbandingan antara model lama dan model baru ini dan jelas ternyata tempat duduk Vespa S125 baru ini adalah lebih berat dari tempat duduk yang terdapat pada Primavera saya ataupun model Sprint.
Namun begitu, saya amat yakin tempat duduk ini adalah lebih selesa dari tempat duduk yang disediakan untuk model-model Vespa yang lain. Setelah melakukan beberapa sesi pandu uji bersama skuter ‘sporty’ ini, perjalanan didalam kawasan bandar adalah sangat selesa.
Akan tetapi, tempat simpanan dibawah tempat duduk adalah sedikit kecil. Jika dilihat dengan teliti didalam gambar, hanya sebiji topi keledar separuh (half shell helmet) sahaja. Topi-topi keledar ‘full face’ atau ‘open face’ tidak mampu untuk dimuatkan ke dalam Vespa ini.
Jika dibandingkan dengan Vespa Primavera saya sendiri, tempat simpanan dibawah tempat duduk mampu menyimpan helmet ‘full face’ saiz M atau L atau helmet ‘open face’ saiz sehingga saiz XL dengan senang. Dengan Vespa S125 ini, anda mungkin hanya mampu untuk meletak topi keledar diluar motor atau dibawa bersama.
Vespa S125 ini mempunyai kapasiti tangki minyak yang agak besar, iaitu 8.3 liter. Saya kagum dengan saiz tangki minyak yang terdapat pada skuter ini kerana jika dibandingkan dengan Vespa-Vespa lain seperti Primavera atau Sprint, skuter-skuter tersebut hanya mempunyai tangki minyak kapasiti 8.2 liter sahaja walaupun mempunyai enjin bersaiz 150cc.
Dengan gabungan enjin kecil yang mampu menjana kuasa optimum dan juga tangki minyak yang besar, skuter ini mampu berjalan agak jauh sebelum tangkinya perlu diisi semula. Ciri-ciri enjin yang mempunyai kuasa dan tork yang lebih tinggi juga berjaya mengurangkan penggunaan bahan api sebanyak 30%. Duit lebih yang dapat dijimatkan boleh guna pada mana-mana ‘Teh Tarik Session’ (TTS) nanti.
Jika anda seorang yang mempunyai kerjaya di kawasan sesak seperti bandar Kuala Lumpur atau Bangsar, skuter Vespa S125 ini sangat sesuai untuk anda. Kecil, bergaya dan sangat mudah untuk dibawa. Skuter Vespa S125 ini boleh didapati dimana-mana ahli-ahli niaga Vespa di seluruh negara dengan harga RM11,954.68 (harga asas dengan GST). Vespa juga menyediakan jaminan pengeluar (manufacturer warranty) selama 2 tahun.
Terima kasih kepada Naza Premira kerana menyediakan Vespa S125 yang diuji kali ini