Op Motosikal: 500 Motosikal Disita, Lebih 14,000 Saman Dikeluarkan

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan 14,514 saman pelbagai kesalahan dari 18 hingga 25 April ketika Op Motosikal yang dijalankan sempena Aidilfitri 2023. 

Sepanjang operasi tersebut dijalankan, sebanyak 500 motosikal turut diita atas pelbagai kesalahan. 

Perkara itu disahkan Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan. Jelasnya, sebanyak 51,039 motosikal telah diperiksa dan tindakan sitaan dibuat setelah didapati tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain di seluruh negara. 

Sementara itu, tiada lesen memandu merekodkan kesalahan tertinggi dengan  4,583 notis dikeluarkan diikuti cukai jalan tamat tempoh (2,600 saman), tiada insurans (2,364 saman), lesen memandu tamat tempoh (168 saman), tidak memakai topi keledar (160 saman) dan tidak mematuhi peraturan lampu isyarat (120 saman). 

Dalam pada itu, JPJ turut menjalankan advokasi di setiap lokasi operasi dalam usaha meminiumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut di musim perayaan. 

“Dipohon kerjasama pengguna jalan raya khususnya penunggang dan pembonceng motosikal untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan peraturan jalan raya serta bertoleransi bersama pengguna jalan raya yang lain demi keutamaan keselamatan ketika di jalan raya,” jelas Datuk Lokman Jamaan. – BERNAMA

Advertisements
[wp_dfp_ad slot="mm_lb_03"]

Leave a Reply